Pembatalan yuran baharu visa haji dan umrah yang diumumkan kerajaan Arab Saudi akan meringankan beban jemaah yang ingin mengerjakan haji dan umrah lebih daripada sekali, kata Pengarah Urusan Rayhar Travels Sdn Bhd Harun Ahmmu.

Beliau berkata pengisytiharan pembatalan yuran pada Sabtu lalu yang berkuat kuasa serta-merta pastinya disambut baik bakal jemaah di negara ini dan sekali gus menggalakkan lebih ramai jemaah untuk mengerjakan ibadah haji dan umrah.

"Dengan pemansuhan itu, sekurang-kurangnya tidak membebankan jemaah yang ingin mengerjakan umrah lebih daripada sekali. Ada sesetengah jemaah ini yang bernazar, bila bernazar sudah jatuh wajib mengerjakannya," katanya ketika dihubungi Bernama, pada Selasa.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel and Tours Sdn Bhd Datuk Md Daud Che Ngah berkata dengan pembatalan yuran visa itu, agensi pelancongan yang menguruskan urusan haji dan umrah boleh menarik nafas lega.

"Ini kerana ia akan memudahkan kami menguruskan kumpulan jemaah haji dan umrah itu mengikut peruntukan kumpulan yang ditentukan tanpa berlaku soal tarik diri pada saat akhir yang akan merugikan agensi," katanya.

Beliau berkata dengan kadar visa baharu yang agak mahal, ia membebankan jemaah itu sendiri kerana ramai jemaah berdaftar dengan syarikatnya yang pergi berulang kali setiap tahun.

"Mengambil contoh sekiranya bayaran yang dikenakan setiap seorang RM2,400 dan jika mereka mahu pergi empat orang, sudah RM9,600, satu jumlah yang agak besar dan mungkin berlaku tarik diri untuk mengikuti umrah pada tahun tersebut," katanya.

Menurut Md Daud, yuran baharu haji dan umrah yang dibayar sebelum tarikh berkuat kuasa pembatalan itu tidak boleh dikembalikan kepada jemaah.

"Ini kerana wang itu sudah dibayar kepada muassasah dan masuk ke dalam akaun kerajaan Arab Saudi. Sekarang, kita menunggu surat arahan bertulis daripada kerajaan Arab Saudi atau Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia berhubung perkara itu," katanya.

Alborsa News melaporkan keputusan pemansuhan yuran berkuat kuasa serta-merta itu dibuat susulan protes rakyat Mesir dan umat Islam di negara lain yang menyifatkannya sebagai mahal.

Ogos lalu, kerajaan Arab Saudi mengumumkan struktur baharu visa ke negara itu iaitu bagi jemaah haji dan umrah yang menunaikan ibadah kali pertama dibenar melaksanakannya secara percuma, namun kadar berjumlah 2,000 riyal (kira-kira RM2,150) seorang dikenakan bagi jemaah yang mahu menunaikannya kali kedua dan seterusnya. -- Bernama