PUTRAJAYA: Pembayar cukai dibenarkan memilih sama ada menggunakan Nombor Pengenalan Cukai (TIN) atau Nombor Bil sebagai rujukan bagi tujuan pembayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN), yang boleh diakses mulai hari ini, kata LHDN.

Selaras pengumuman itu, LHDN memaklumkan pihaknya bersetuju membenarkan lanjutan masa hingga 20 Jan ini bagi pembayaran semua jenis cukai kecuali bayaran Potongan Cukai Bulanan (PCB) dan Duti Setem, serta tiada sebarang kenaikan dikenakan atas kelewatan pembayaran cukai berkenaan.

"LHDN cakna serta prihatin terhadap masalah pembayaran cukai yang dihadapi oleh pembayar cukai berikutan pengenalan penggunaan Nombor Bil sebagai rujukan mandatori bagi pembayaran semua jenis cukai kecuali bayaran PCB dan Duti Setem bermula 1 Jan lepas," menurut kenyataan itu.

LHDN sebelum ini dilapor memaklumkan Nombor Bil akan digunakan sebagai rujukan mandatori bagi urusan pembayaran semua jenis cukai langsung kecuali bayaran PCB dan Duti Setem bermula awal tahun ini.

Memohon maaf atas sebarang kesulitan yang dihadapi pembayar cukai, LHDN berkata, pihaknya menyediakan langkah alternatif bagi membantu memudahkan urusan pembayaran dan menjawab pertanyaan berhubung pengumuman itu melalui e-mel [email protected].

Sebarang pertanyaan dan maklum balas boleh dikemukakan melalui Care Line di talian 03-89111000 atau 603-89111100 bagi luar negara, Live Chat dan Borang Maklum Balas menerusi portal rasmi LHDN. - BERNAMA