KUALA LUMPUR: Pembekal digalakkan untuk menyertai inisiatif 'Menu Rahmah' yang akan diperkenalkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama-sama Persatuan Pengusaha Restoran India Malaysia (Primas), dan Persatuan Operator Tomyam Malaysia.

Presiden Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khas berkata cadangan itu bagi menyediakan bahan mentah pada harga yang lebih rendah kepada restoran yang menyertai inisiatif berkenaan.

"Jika pembekal memberikan potongan harga (pada bahan mentah) untuk kos mereka ketika kerjasama 'Menu Rahmah', kami akan dapat memberikan dana daripada syarikat kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Jawahar berkata Presma bekerjasama rapat dengan Prismas dalam inisiatif ini dan akan membawakan cadangan itu kepada Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub, sebelum memorandum persefahaman (MoU) ditandatangi minggu hadapan.

KPDN akan memperkenalkan 'Menu Rahmah' yang menawarkan makanan pada harga RM5 dan ke bawah, khusus untuk golongan miskin tegar yang terdiri daripada nasi, ayam atau ikan dan sayuran.

Sebagai tambahan, beliau berkata Salahuddin telah mencadangkan untuk menyediakan 'Tabung Rahmah' untuk setiap restoran yang menyertainya, supaya dapat menyediakan makanan percuma kepada golongan miskin tegar seperti komuniti Asnaf.

Sementara itu bagi seorang pekerja kilang Haris Hanipah, 30, 'Menu Rahmah' itu satu inisiatif yang baik daripada kerajaan bagi membantu mereka yang memerlukan disebabkan peningkatkan harga barang keperluan yang semakin mahal di pasaran.

"Mungkin ini inisiatif jangka pendek dan kerajaan perlu mencari cara yang lebih baik lagi bagi bukan sahaja menjaga kesejahteraan masyarakat, tetapi juga meningkatkan pendapatan isi rumah secara keseluruhan," katanya.

Bagaimanapun seorang ahli ekonomi di Kolej Universiti i-Cats Kuching Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor, mencadangkan KPDN untuk memperkenalkan inisiatif baucar makanan, kerana dirasakan ia lebih praktikal dalam menyediakan bekalan dan barangan, untuk satu-satu isi rumah.

"Sebagai contoh baucar makanan benilai RM100 sebulan akan menyediakan setiap keluarga dengan sejumlah barangan runcit dan ini akan menyediakan sekurang-kurangnya makanan untuk tiga kali bagi setiap keluarga," katanya.

Shazali berkata cadangan itu kerajaan boleh berunding dengan pihak pasar raya dan pasar raya besar, dalam menambah baucar makanan sebagai sebahagian daripada pemberian diskaun mereka, yang berpotensi untuk meningkatkan jualan mereka.

Beliau berkata 'Menu Rahmah' lebih sesuai untuk mereka yang bujang yang tidak bermasalah untuk ke restoran untuk makan, namun untuk sebuah keluarga, ia akan memakan masa dan usaha yang lebih mahal daripada makanan disediakan disebabkan kos pengangkutan.

Ketika ditanya cara pemilihan penerima baucar makanan itu, Shazali berkata data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) boleh menentukan siapa yang layak berdasarkan kepada jumlah isi rumah, pendapatan dan lokasi.

-- BERNAMA