KUALA LUMPUR : Pendekatan 'satu saiz untuk semua' dalam pendidikan tinggi tidak lagi relevan bagi memenuhi keperluan pelajar pada masa kini dan masa depan.

Justeru, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berpendapat, dalam dunia pendidikan tinggi konvensional, sering wujud konflik antara fleksibiliti dalam pendidikan dan keperluan untuk mempertahankan kualiti serta piawaian tertentu.

Bagaimanapun, katanya, sinergi antara fleksibiliti dan kualiti penting kerana fleksibiliti membolehkan penyesuaian diri dengan dinamik pembelajaran masa hadapan.

"Pembelajaran masa depan memerlukan kita untuk menunjukkan daya tahan dan ketangkasan semasa mengharungi pelbagai cabaran.

"Oleh sebab itu, masa depan pembelajaran sepanjang hayat di Malaysia memerlukan fleksibiliti pembelajaran lebih berstruktur yang mampu meningkatkan ketahanan kita terhadap pendidikan masa depan," katanya.

Mohamed Khaled berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Agensi Kelayakan Malaysia 2023 (MQAIC 2023) di Kota Kinabalu, hari ini.

Persidangan dua hari itu dihadiri 300 peserta terdiri daripada pakar jaminan kualiti, pembuat dasar, ahli akademik, pegawai bahagian jaminan kualiti institusi pendidikan tinggi (IPT), pemain industri dari United Kingdom, Jerman, Kazakhstan, Uzbekistan, Kyrgyzstan, Hong Kong, Taiwan, China dan Indonesia.

Jelasnya, semasa bergerak ke arah amalan pendidikan yang lebih fleksibel, pelarasan struktur jaminan kualiti aktiviti pembelajaran dan kebolehpindahan kelayakan perlu diwujudkan.

Sebagai contoh, katanya, perlu wujud penandaarasan kualiti berbeza antara pembelajaran konvensional, pembelajaran dalam talian dan hibrid serta antara macro-credentials dan micro-credentials.

Mohamed Khaled berkata, beliau melihat potensi besar dalam pembangunan kelayakan micro-credentials yang melangkaui faedah ekosistem upskilling dan reskilling.

"Sehubungan itu, IPT di Malaysia boleh mengambil kelebihan bekerjasama dengan industri untuk menghasilkan produk pendidikan yang membantu meningkatkan kebolehpasaran graduan, seterusnya menawarkannya kepada pelajar antarabangsa pada masa akan datang.

"Kini, terdapat perkembangan yang sangat positif terhadap penawaran micro-credentials oleh IPT tempatan serta program upskilling dan reskilling yang dipromosikan oleh kerajaan dan pihak industri," katanya.

Tambahnya, MQA juga telah menerbitkan beberapa garis panduan untuk menyokong kebolehpindahan, kebolehtimbunan dan pengumpulan pembelajaran, ke arah penganugerahan kelayakan bertauliah MQA.

Beliau berkata, micro-credentials mampu menyokong kelestarian pembelajaran sepanjang hayat, terutama bagi mereka yang bekerja dan memerlukan pendekatan pembelajaran yang fleksibel.