Orang ramai tidak perlu takut untuk tampil mengemukakan aduan berhubung amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa kerana pemberi maklumat akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata ramai memilih berdiam diri walaupun menyedari berlakunya perlakuan yang tidak wajar dan menyalahi undang-undang di tempat kerja kerana khuathir keselamatan diri atau dikenakan tindakan tatatertib, ditahan atau dibuang kerja.

"Kita memberi jaminan bahawa akta-akta ini diwujudkan dan boleh digunakan mana-mana rakyat Malaysia yang ingin mendedahkan dan mengemukakan maklumat berhubung amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

"Rakyat harus berani dan tidak perlu khuatir jika kedudukan mereka terjejas. Perlindungan sewajarnya akan diberikan kepada mereka. Kita perlukan orang yang berani bersama-sama menjayakan matlamat untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Seminar Perbandingan Antara Akta 696 dan Akta 711 di sini hari ini.

Akta 696 lebih memfokuskan kepada perlindungan fizikal seperti kawalan keselamatan dan bantuan tempat tinggal manakala Akta 711 lebih kepada perlindungan kepada maklumat sulit pemberi maklumat, kekebalan daripada tindakan sivil dan jenayah serta tindakan yang memudaratkan.

Razali berkata ramai dalam kalangan rakyat Malaysia masih tidak sedar kewujudan kedua-dua akta berkenaan dan juga saluran untuk mendapatkan perlindungan.

Beliau berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri mengambil pelbagai inisiatif seperti seminar untuk mengurangkan kekeliruan pihak-pihak berkepentingan dalam pelaksanaan akta-akta ini, khususnya mengenai bentuk perlindungan yang disebutkan. -- BERNAMA