MALAYSIA
Pemberian RM100: PM Anwar bidas pembangkang tidak faham konteks inisiatif

Program STR dan SARA merupakan antara inisiatif utama kerajaan perpaduan dalam memastikan bantuan kewangan sampai kepada golongan sasar secara menyeluruh dan berkesan, kata Perdana Menteri Anwar.
KUALA LUMPUR: Pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan khususnya bagi golongan berpendapatan rendah di luar bandar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, Perdana Menter membidas segelintir Ahli Parlimen dari blok pembangkang yang mempertikaikan jumlah bantuan tersebut dengan menyifatkan mereka tidak memahami keseluruhan konteks inisiatif yang diumumkan kerajaan.
"Semalam saya umumkan beberapa langkah tambahan, tak apalah singgung, politik itu tak apa lah. RM100 sahaja, ya lah...kamu gaji RM20,000 sebulan, RM40,000 sebulan. RM100 tak ada apa-apa, tapi saya tahu kalau kita pergi ke kampung, ada. Ini tambahan. Seolah-olah yang dia bagi, kalau tengah dengar beberapa Ahli parlimen pembangkang di Parlimen, RM100 je? RM100 je, dia tak baca ke.
"Bila saya sebut rabun mata dia marah, baru ini tambahan dari RM13 bilion jadi RM15 bilion untuk tahun ini untuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA," katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan Bulan Julai 2025, di sini, pada Khamis.
Menurut Perdana Menteri lagi, langkah ini adalah sebahagian daripada penambahan kepada pelbagai inisiatif yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan, termasuk pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang akan diperluas daripada 10 tahun kepada 18 tahun menjelang tahun depan.
Program STR dan SARA merupakan antara inisiatif utama kerajaan perpaduan dalam memastikan bantuan kewangan sampai kepada golongan sasar secara menyeluruh dan berkesan.
Tegas Anwar lagi, penurunan harga minyak RON95 kepada RM1.99 seliter merupakan langkah yang perlu dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat.
Kata beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan rasional harga minyak global, termasuk harga semasa di Arab Saudi yang kini mencecah RM1.99 seliter ketika ini.
"Begitu juga dengan penurunan harga minyak, itu mesti saya buat lah. Walaupun masa kita bincang soal harga turun harga minyak, saya dah beritahu ada rasional semasa minyak di Arab Saudi 50 sen. Sekarang minyak di Arab Saudi RM1.99 or RM2. Walau bagaimanapun, kita turun juga dan kita katakan untuk orang asing, kena ikut harga pasaran lah. Itu kita akan tetapkan kemudian," katanya.
Semalam, Perdana Menteri berkata, pemberian bersempena Hari Kebangsaan itu adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
Katanya, jumlah peruntukan STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini dan ini adalah kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa.
"Bantuan ini boleh dibelanjakan mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025 bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya seperti Mydin, Lotus's, Econsave dan 99 Speedmart serta kedai runcit di semua daerah seluruh negara," kata beliau lagi dalam pengumuman semalam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami