KUALA LUMPUR: Cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong di Kota Bharu, Kelantan sejauh 122 kilometer akan menggunakan model pembiayaan Bina, Kendali dan Pindah (BOT).

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi kaedah BOT, syarikat pemaju akan membuat pembiayaan pembinaan LPT3 melalui bank serta mendapatkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol dan apabila selesai dalam suatu tempoh, projek dikembalikan kepada kerajaan.

"Kita ada projek ECRL (Laluan Rel Pantai Timur), kita ada CSR (Lingkaran Tengah Utama), jadi kementerian berpandangan model pembiayaan bagi cadangan LPT ini pula akan menggunakan model BOT.

"LPT3 adalah lebuh raya antara bandar, kebiasaannya hanya kerap dilalui pengguna pada hujung minggu berbeza dengan lebuh raya dalam bandar yang banyak digunakan dalam lima hari seminggu, jadi model pembiayaan ini perlu diteliti sebaiknya supaya menguntungkan semua pihak," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) pada sesi soal jawab mengenai bentuk model pembiayaan dan model operasi yang dicadang untuk pembinaan LPT3 bagi memastikan pulangan pelaburan kepada pihak terlibat.

Menjawab soalan asal Ahmad Samsuri mengenai status terkini pembinaan LPT3, Ahmad Maslan berkata cadangan projek itu sedang diteliti oleh Jawatankuasa Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) Jabatan Perdana Menteri.

"Pasukan projek juga akan ditubuh oleh UKAS bagi sediakan kertas mesyuarat Jemaah Menteri bagi dapatkan kelulusan prinsip pelaksanaan LPT3 ini secara tender RFP (Permintaan Cadangan)," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Semporna) mengenai perkembangan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, Ahmad Maslan berkata proses RFP bagi penyambungan fasa seterusnya telah diminta daripada syarikat yang mendapat projek di dalam pakej terdahulu.

"Pan Borneo di Sarawak selesai tahun ini namun di Sabah kita akan pantau, jika syarikat pemaju tidak perform, kita akan bagi amaran dan mengikut syarat kontrak, jika jadi projek sakit, tak dikendalikan, kita akan ambil tindakan.

"Ia termasuk tindakan tegas putuskan kontrak yang ada dan melakukan proses melantik kontraktor baharu yang berkemampuan untuk menyelesaikan projek itu," katanya.

-- BERNAMA