MALAYSIA
Pembinaan projek perumahan perlu disegerakan, elak beban pada rakyat selaku pembeli - PM Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, hari ini. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Semua projek perumahan yang dirancang perlu dipercepatkan pelaksanaannya bagi mengelakkan beban tambahan kepada rakyat, khususnya golongan pembeli rumah pertama.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kelewatan dalam menyiapkan projek perumahan termasuk yang mengambil masa sehingga lapan tahun berpunca daripada perancangan yang tidak teliti dan tidak mengambil kira keperluan sebenar rakyat.
“Saya mahu negara berubah dengan sikap bertanggungjawab. Pegawai perancang kena faham benar-benar peranan mereka dan hayati pendekatan MADANI. Kalau saya nak jadi pemimpin yang bertanggungjawab, saya mesti mendengar keluhan rakyat di bawah.
"Setiap projek perumahan mesti memenuhi syarat asas yang mengutamakan kepentingan penduduk seperti kemudahan pendidikan, kesihatan, ruang niaga untuk penjaja kecil, akses pengangkutan awam, laluan parkir yang mencukupi serta taman permainan kanak-kanak," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Pecah Tanah Residensi Aman MADANI di Bandar Sri Permaisuri, di sini, hari ini.Dalam masa sama, beliau turut memberi amaran agar tiada unsur komisen politik atau amalan rasuah dalam pelaksanaan projek perumahan.
“Kita tak mahu projek-projek besar ini dibebani dengan kos yang tidak sepatutnya. Saya tekankan, tiada komisen politik seperti yang berlaku sebelum ini. Kita mahu konsep MADANI ini diterjemahkan dalam bentuk perancangan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Kita mahu dasar hari ini bebas rasuah. Tapi kalau bersih, jangan pula lembab. Kadang-kadang orang bersih tapi kelulusannya lambat, tak boleh juga. Rakyat tidak boleh tunggu terlalu lama," ujar Perdana Menteri lagi.
Tambah beliau, pembangunan bandar tidak seharusnya hanya fokus kepada menara pencakar langit semata-mata, sebaliknya mesti memberi manfaat kepada penduduk majoriti.
Pada 31 Julai lalu, media melaporkan sebanyak satu juta unit rumah mampu milik akan dibina dalam tempoh 2026 hingga 2035 dengan kerjasama kerajaan negeri dan pemaju swasta.
Perdana Menteri berkata, sehingga tahun 2025, sebanyak 180,000 unit rumah telah siap, manakala 235,000 sedang dibina oleh kerajaan demi menjami kediaman yang selesa dan selamat kepada rakyat.
Semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) di Dewan Rakyat minggu lalu, Anwar berkata, peralihan kepada teknologi seperti Industrialised Building System dan Building Integrated Management akan membantu mempercepatkan pelaksanaan dan mengurangkan kos pembinaan rumah, termasuk perumahan awam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami