KUALA LUMPUR: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) berhampiran Kampung Asahan, Kuala Selangor bukan penyebab banjir besar yang melanda kampung itu pada 19 September 2021.

Menurut Pengurus Besar Komunikasi Strategik dan Libat Urus WCE, Syed Mohamed Idid, pihaknya bagaimanapun komited untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Menjelaskan lanjut, katanya projek yang dikaitkan dengan banjir itu oleh penduduk adalah jambatan dibina merentasi Sungai Selangor yang merupakan sebahagian daripada jajaran WCE Seksyen 7A.

Pembinaan jambatan tersebut adalah dua kilometer (km) dari Kampung Asahan serta 1.5 km dari sempadan Lebuhraya WCE dan bukannya punca banjir di kampung terbabit.

"Terusan dan benteng Sungai Bestari telah dibina oleh pihak berkuasa sebelum pembinaan jambatan Lebuhraya WCE bagi meredakan limpahan air sungai. Ini menunjukkan bahawa kejadian limpahan air Sungai Selangor adalah satu perkara biasa sebelum pembinaan jambatan Lebuhraya WCE lagi.

"Pihak WCE telah mematuhi semua aspek teknikal dan peraturan pembinaan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa serta memperolehi segala kelulusan wajib bagi pembinaan jambatan tersebut.

"Adalah ditegaskan bahawa pembinaan jambatan Lebuhraya WCE bukanlah faktor penyebab kejadian banjir yang berlaku dan tiada bukti kukuh kerosakan struktur berkaitan dengan pembinaan tersebut," jelas kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan penduduk Kampung Asahan mendakwa pemotongan tebatan banjir yang dibina sejak tahun 1972 sebagai punca kejadian banjir luar biasa melanda kampung itu pada tahun 2021.

Malah penduduk juga meminta agar pampasan yang setimpal dapat diberikan oleh pihak kontraktor susulan kerugian yang terpaksa ditanggung mereka akibat kemusnahan harta benda.

Mengulas lanjut, Syed Mohamed Idid berkata, kejadian banjir luar biasa yang berlaku pada 19 September 2021 adalah kejadian luar jangka disebabkan limpahan air dari benteng Sungai Selangor dan Sungai Bestari.

"Kejadian banjir yang berlaku pada 19 September 2021 adalah kejadian luar jangka yang disebabkan oleh hujan lebat yang berterusan dalam beberapa hari, mengakibatkan limpahan air dari benteng Sungai Selangor dan Sungai Bestari.

"Satu lawatan tapak susulan bersama pihak berkuasa yang berkaitan telah diaturkan oleh Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Selangor yang dihadiri wakil daripada Kampung Asahan pada 5 Oktober 2022 bagi menangani dakwaan penduduk kampung dan
secara kesimpulannya didapati projek pembinaan WCE bukanlah punca kepada kejadian banjir tersebut.

"Bagi memenuhi permintaan pihak berkuasa, pihak WCE bersetuju meninggikan ketinggian benteng sebagai langkah pencegahan tambahan. Satu benteng tambahan telah dibina kira-kira 50 meter di belakang benteng pertama bagi mengurangkan risiko kejadian banjir di masa hadapan," katanya lagi.

Mengenai tawaran bantuan pula jelas Syed Mohamed Idid, meskipun kejadian banjir bukan berpunca daripada pembinaan jambatan berkenaan, namun WCE dengan ihsan menawarkan bantuan kepada penduduk, namun telah ditolak.

"Kesimpulannya, pihak WCE ingin menegaskan bahawa kejadian banjir di Kampung Asahan pada 19 September 2021 adalah bukan disebabkan oleh projek pembinaan jambatan Lebuhraya WCE.

"Walau bagaimanapun, pihak WCE komited untuk memberi sokongan dan bantuan kepada pihak berkuasa dalam menyelesaikan perkara ini," jelasnya lagi.