KUANTAN: Seorang pemborong buah mendakwa kerugian RM414,932 selepas diperdaya dalam urusan menjual durian Musang King, sejak hujung bulan lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa yang merupakan seorang lelaki berusia 29 tahun mendakwa mengenali suspek pada 30 Jun lepas selepas menghubunginya untuk membeli 10 bakul durian itu.

"Mangsa mendakwa suspek telah menunjukkan salinan resit transaksi secara dalam talian sebuah bank sebagai bukti pembayaran menerusi suspek kedua dipercayai pekerjanya, yang datang ke kedai bagi mengambil buah pada hari sama.

"Ini menyebabkan mangsa mempercayai suspek dan terus menjual durian kepadanya dari 1 Julai hingga 27 Julai lepas dengan persetujuan pembayaran dibuat secara terus ke akaun syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memeriksa akaun itu semalam dan mendapati bayaran RM414,932 yang sepatutnya dijelaskan suspek tidak dikreditkan ke akaun berkenaan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Sungai Ruan, Raub dan siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan, katanya.

-- BERNAMA