SEPANG: Malaysia secara simboliknya menyambut ketibaan pesawat antarabangsa dari Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari pertama pembukaan sempadan antarabangsa hari ini.

Ketibaan pesawat Etihad EY0418 yang dinaiki 220 penumpang dan krew dari Eropah, Timur Tengah serta rakyat tempatan kira-kira jam 10.20 pagi itu disambut dengan semburan air dan alunan muzik sebagai gimik selamat datang ke Malaysia selepas lebih dua tahun sempadan negara ditutup.

Mereka disambut oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri.

Rentas Jambatan Endemik

Terdahulu, pesawat Saudi Airlines dari Jeddah, Arab Saudi yang membawa jemaah umrah tempatan menjadi pesawat pertama mendarat di  KLIA kira-kira jam 1 pagi Jumaat.

Sementara itu, sebuah pesawat sewa khas dari Yangon, Myanmar yang membawa 21 penumpang pula tiba kira-kira jam 3.15 pagi di KLIA.

BACA: KLIA terima penerbangan antarabangsa pertama

Bermula 12 tengah malam tadi, negara beralih ke fasa peralihan ke endemik selepas lebih dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 yang menyaksikan pelbagai kawalan dan kekangan dilaksanakan.

Lapangan terbang di seluruh negara dijangka menerima sebanyak 119 penerbangan pada hari pertama pembukaan semula pintu sempadan negara hari ini.

Berdasarkan jadual penerbangan yang telah difailkan, dua terminal di KLIA akan menerima 110 penerbangan, antaranya adalah dari Hong Kong, Melbourne, New Delhi, Doha, Istanbul dan London.

AirAsia, antara syarikat penerbangan utama di KLIA2, memaklumkan terdapat 12 penerbangan antarabangsa yang dikendalikannya hari ini iaitu dari Kemboja, Vietnam, Indonesia, Singapura, Thailand, Bangladesh, Filipina dan India.

Penerbangan antarabangsa AirAsia pertama yang akan mendarat di KLIA2 pada Jumaat ialah AK52 dari Bengaluru, India pada kira-kira jam 6.20 pagi.

Pada 8 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, Malaysia akan memasuki fasa peralihan endemik bermula 1 April ini, yang antara lainnya pembukaan sepenuhnya sempadan negara.