KUALA LUMPUR : Kaedah Pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka buat pelajar nyata terjejas akibat pandemik COVID-19 apabila sekolah terpaksa ditutup sebagai salah satu strategi mengawal penularan wabak itu.

Pelbagai dapatan dan kajian terperinci dilakukan susulan ketidaktentuan dan perubahan yang tidak dijangka ini selepas para pelajar terpaksa meneruskan PdP di rumah dengan kebanyakannya secara dalam talian.

Antara dapatan yang disuarakan oleh Penyelidik Bersekutu, Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Jarud Romadan Khalidi menerusi artikelnya yang bertajuk "Building Back Better from Unprecedented Changes in Education" adalah ketidaksamarataan kualiti pelajaran yang diterima rakyat Malaysia.

Kajian tersebut antara lain menekankan bahawa jurang ketidaksamarataan itu amat jelas antara keluarga golongan berpendapatan tinggi dan rendah.

Susulan itu, beliau berharap agar sistem demokrasi pendidikan yang lebih baik dapat digubal bagi memastikan masa depan anak-anak, masyarakat dan negara terjamin.

“Kita memandang serius dalam memastikan bahawa terdapat penggubalan dasar demokrasi pendidikan kerana buat masa ini ketidaksamarataan pendidikan itu sangat ketara dalam masyarakat Malaysia yang mana sesetengah pihak boleh belajar lebih lanjut dan sesetengah pihak lain tercicir.

“Jadi saya harap selain daripada demokrasi pendidikan, ambil masa ini untuk berfikir lebih panjang tentang perlindungan sosial bagi kanak-kanak bukan sahaja dalam pendidikan tetapi dari segi kesihatan mereka dan pendapatan keluarga mereka.

“Perkara sebegini penting kerana kanak-kanak adalah masa depan kita, bunyi memang cliche, tetapi untuk pastikan bukan sahaja kesejahteraan kanak-kanak tetapi untuk masa depan negara,” katanya.


Jurang kualiti pelajaran jelas antara keluarga pendapatan tinggi dan rendah

Sementara itu, KRI turut menerbitkan artikel kajian bertajuk "Tangani Risiko Buta Huruf dengan Program Intensif 3M" oleh Timbalan Pengarah Penyelidikan institut tersebut, Hawati Abdul Hamid yang menekankan kepentingan anak-anak menguasai kemahiran asas.

Bagi memastikan pelajar tidak tercicir, program intensif tersebut perlu digerakkan segera dan ia hanya mampu direalisasikan melalui kerjasama erat antara kementerian yang terlibat.

“Sebenarnya pandemik ini telah mempercepatkan sebahagian usaha yang ingin dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kalau nak tunggu buat sendiri semasa tiada krisis mungkin ambil masa lebih lama.

“Pandemik ini kita dapat lihat pelajar cepat menguasai keyboard komputer dan sebagainya, satu rahmat di sebalik pandemik, cuma kita harap pencapaian ini bila sekolah boleh dibuka sepenuhnya di masa hadapan, kita harap blended learning ini tidak terus ditinggalkan.

“Usaha blended learning itu patut diteruskan iaitu pembelajaran secara dalam talian dan fizikal supaya mendemokrasikan akses kepada pendidikan,” ujarnya.


Perhebatkan penguasaan kemahiran asas pelajar

Jarud dan Hawati berkata demikian dalam program AWANI Pagi pada Jumaat. 


AWANI Pagi: Dapatan kajian susulan penutupan sekolah akibat COVID-19