KUALA LUMPUR: Kehadiran lebih ramai orang boleh merumitkan siasatan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mencari bahan bukti di lokasi kejadian pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin.

Ini kerana, menurut Pensyarah Kanan Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat setiap individu yang melalui lokasi berkenaan akan meninggalkan kesan yang boleh mengganggu bahan bukti.

"Kadang-kadang, penduduk yang tinggal di kawasan itu buang puntung rokok sebagai contoh. Kadang-kadang ada yang tinggalkan rambut yang gugur, dan sebagainya.

"Itu boleh mengkaburkan keadaan. Memang tidak diragui, mangsa di situ mungkin meninggalkan kesan juga, jadi, kita kena asingkan yang itu.

"Pemangsa, iaitu pelaku dalam kes ini, juga akan meninggalkan kesan, jadi keadaan itu akan jadi sedikit overlapping dengan individu-individu yang berada di situ.

"Jadi pihak polis kena tolak kesemua bahan-bahan yang tidak diperlukan. Bukan sahaja polis, tetapi pihak Jabatan Kimia juga, bekerja keras mengenai perkara ini," katanya dalam program Pantau Agenda Reformasi pada Isnin. 



Kehadiran orang ramai rumitkan siasatan - Prof Geshina


Tambah beliau, terdapat juga elemen yang perlu diambil kira daripada perspektif pelaku, ahli keluarga, saksi, bukti bahan digital dan laini-lain.

Tambah Geshina, keadaan cuaca turut memainkan peranan memandangkan setiap bahan bukti mempunyai jangka hayat tersendiri.

"Asingkan diri biar pihak PDRM jalankan kerja mereka. Kalau kita lihat, pelbagai anggota polis berada di situ. Ini pun akan mengambil kira satu elemen yang perlu kita pertikaikan, iaitu berapa tepat, berapa hebat, elok atau tak elok bahan yang dikumpulkan itu.

"Ramai orang mungkin berpendapat hanya diperlukan adalah seperti finger print. Bukan itu sahaja ya. Ia ada pelbagai. Sebagai contoh, peluh, rambut, cebisan kain baju, kesan kuku si mangsa, termasuk penggunaan bahan bukti digital," katanya. 

Pantau Agenda Reformasi: Polis syak hanya seorang individu bunuh Zayn Rayyan


Zayn Rayyan, dilaporkan hilang pada tengah hari 5 Dis dan ditemukan meninggal dunia dalam aliran anak sungai pada keesokannya, kira-kira 200 meter dari blok kediamannya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sedang meneliti rakaman video kamera papan pemuka yang diperoleh daripada beberapa pemilik kenderaan yang merupakan penghuni apartmen itu untuk membantu siasatan.

Terdahulu, beliau berkata, polis mengesyaki berkemungkinan hanya seorang individu terlibat dalam kes pembunuhan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu.

Ia berdasarkan petunjuk, kesan jerutan dan pergelutan yang ditemukan pada tubuh mangsa.

Menurut Hussein, beliau tidak mahu proses siasatan melibatkan sebarang spekulasi dan orang ramai diminta memberi ruang kepada polis supaya dapat menumpukan pelaksanaan tugas berdasarkan fakta kes.