Pemergian Allahyarham Bung Moktar kehilangan besar buat kepimpinan BN - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (tengah) menunaikan solat jenazah buat Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini. - Foto FB Zahid Hamidi
KOTA KINABALU: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin sebagai satu kehilangan besar bukan sahaja kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah, malah kepada kepimpinan pada peringkat nasional.
Ringkasan AI
- Kehilangan besar: Pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dirasakan amat sedih oleh BN dan UMNO Sabah serta kepimpinan negara, yang mengakui sumbangan besar beliau dalam menghidupkan semula UMNO negeri selepas PRU 2018.
- Sumbangan penting: Bung Moktar dikenali sebagai pemacu kepada kebangkitan semula UMNO di Sabah dan BN, terutama selepas cabaran politik pada 2018, di mana beliau merupakan antara ketua UMNO Bahagian yang terus setia serta berperanan penting dalam kepimpinan parti.
- Penghormatan terakhir: Jenazah Allahyarham dikebumikan selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Kampung Likas, setelah solat jenazah diadakan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, menandakan penutup kepada perjalanan politik Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan.
"Saya berharap agar keluarga beliau tenang, redha dan menerima qada dan qadar daripada Allah Taala dan sabar. Mudah-mudahan, kita sama-sama mendoakan agar roh Allahyarham berada di sisi orang-orang beriman, insya-Allah," katanya kepada pemberita selepas selesai menunaikan solat jenazah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu di sini hari ini.
Mengulas peranan Bung Moktar dalam parti, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO berkata sumbangan Allahyarham sangat besar khususnya ketika UMNO Sabah berdepan cabaran pasca-PRU (Pilihan Raya Umum) pada 2018.
"Pada tahun itu, beliau ialah tiga daripada 25 Ketua-ketua UMNO Bahagian yang terus kekal dalam UMNO dan menghidupkan UMNO kembali dan beliau merupakan pemacu kepada bangkitan semula UMNO di Sabah dan juga BN.
"Saya sangat bersyukur atas sumbangan beliau selama memimpin UMNO Sabah dan mudah-mudahan kesinambungan (kepimpinan Allahyarham Bung Moktar) akan dilakukan oleh rakan-rakan beliau dan insya-Allah kita memohon agar UMNO Sabah terus relevan dalam landskap politik Sabah ini," katanya.
Bung Moktar, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.
Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang sebelum solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu dan kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas selepas solat Jumaat.
Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


