Skip to main content

Malaysia

JPN rekod lebih 4,000 permohonan daftar kelahiran lewat setakat 15 Julai

KUALA KRAI, 23 Julai -- Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias ditemui pemberita pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Johal, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran kelahiran adalah langkah penting bagi memastikan setiap individu menikmati hak sebagai warganegara, termasuk akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan. - Foto BERNAMA
Advertisement

KUALA KRAI: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan 4,598 permohonan pendaftaran kelahiran lewat di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Julai lepas.

Ketua Pengarah JPN Datuk Badrul Hisham Alias berkata pendaftaran kelahiran adalah langkah penting bagi memastikan setiap individu menikmati hak sebagai warganegara, termasuk akses kepada kemudahan kesihatan, pendidikan dan pelbagai perkhidmatan kerajaan.

“Kelewatan atau kegagalan mendaftarkan kelahiran boleh memberi implikasi besar terhadap masa depan seseorang, termasuk kesukaran memperoleh dokumen pengenalan diri serta menikmati pelbagai hak dan kemudahan yang disediakan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sijil kelahiran kepada lapan anak Zapni Abd Wahab, 53, di Kampung Johal di sini hari ini.

Lapan beradik itu ialah Muhammad Hamizul, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.

Ibu mereka, Nur Syuhada Wahab, 40, berkata penantian selama 19 tahun untuk melihat anak-anaknya memiliki sijil kelahiran akhirnya menjadi kenyataan selepas JPN menguruskan permohonan berkenaan.

“Dulu, urusan persekolahan dan membawa anak-anak ke klinik agak sukar kerana mereka tiada sijil kelahiran. Banyak soalan perlu dijawab dan pelbagai urusan perlu dilakukan.

“Alhamdulillah, selepas JPN menyerahkan sijil kelahiran kepada mereka, saya berhasrat menghantar enam anak saya yang kini berusia antara enam hingga 16 tahun ke sekolah tahun hadapan,” katanya.

Beliau berkata kegagalan mendaftarkan kelahiran anak-anak sebelum ini berpunca daripada masalah keluarga, termasuk ketiadaan dokumen perkahwinan serta kesukaran mendapatkan pengangkutan untuk berurusan di pejabat JPN.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement