Kematian usahawan dan pakar bidang teknologi maklumat (ICT) terkenal, Azli Paat, 46 kerana demam panas di rumahnya di Bukit Segambut, semalam turut dirasai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ini berikutan Allahyarham adalah pencetus idea kepada kewujudan sistem RakanCop yang dibangunkan sebagai penghubung masyarakat dengan pihak polis bagi tindakan pencegahan jenayah.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) Bukit Aman, ACP Ramli Mohamed Yoosuf dalam merasakan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia teknologi maklumat negara.

“Pemergian beliau (Azli) merupakan satu kehilangan kepada negara terutamanya dalam era sekarang ini dimana idea dan khidmat beliau sebagai seorang yang berinovatif dan kreatif sangat diperlukan ramai pihak terutamanya PDRM,” kata Ramli.

Allahyarham banyak membantu secara langsung dan tidak langsung pihak polis terutamanya dalam mewujudkan sistem RakanCop yang banyak membantu polis dan masyarakat dalam menyalurkan informasi dan maklumat berkenaan jenayah.

Rakan Cop diwujudkan pada 9 Ogos 2005 sebagai medium perantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat dalam pembanterasan jenayah dan sistem ini dibangunkan melalui penggunaan sistem penyampai maklumat dua hala, Saluran HOTLINE dan SMS Polis yang dipasang di Pusat Kawalan Polis (PCCC).

Malah kewujudannnya telah banyak membantu pihak polis menangani kes-kes jenayah melalui maklumat disalurkan oleh masyarakat.