KUALA LUMPUR: Pemergian George Heng Kiah Choong yang meninggal dunia Rabu lepas pada usia 72 tahun, merupakan satu kehilangan besar kepada arena sukan Malaysia.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam ucapan takziah di dalam Facebook mereka hari ini, menggambarkan George atau lebih dikenali sebagai Uncle George, bukan sahaja seorang yang mengabadikan dirinya kepada tenpin boling, tetapi juga merupakan salah seorang daripada perintis dalam pemasaran dan penajaan sukan di Malaysia dan bersama MOM.

"Pemergian yang tidak disangka-sangka Uncle George satu kehilangan yang menyedihkan kepada Sukan Malaysia," menurut hantaran tersebut.

Menurut hantaran itu, mendiang George dan balunya Tan Yuet Ching, bersama-sama menubuhkan MESUMA Sdn. Bhd pada 2 Sept 1983, bagi membekalkan pakaian sukan tempah khas, pingat dan piala, dan peralatan sukan selain daripada menjadi ahli kepada Jawatankuasa Pemasaran dan Tajaan kepada Jawankuasa Penganjuran Sukan SEA Kuala Lumpur 1989.

"Uncle Georgelah yang memperkenalkan pemasangan kotak iklan berlampu pada tiang lampu untuk pihak penaja mengiklankan produk mereka dan menjadikan Sukan SEA Kuala Lumpur 1989 berjaya dari segi kewangan dan juga komersial," menurut hantaran MOM itu.

MOM juga memaklumkan bahawa MESUMA Sports Sdn Bhd, di bawah kepimpinan mendiang telah menjadi penaja pakaian rasmi MOM daripada 2006 hingga 2012, termasuklah menyediakan pakaian sukan dan peralatan kepada kontinjen Malaysia pada dua Sukan Olimpik, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan tiga Sukan SEA.

Berkaitan Boling, MOM menyatakan yang George mengabadikan masa dan tenaganya untuk pembangunan sukan itu di Malaysia sejak 45 tahun lepas, yang telah menyumbangkan kejayaan besar kepada pemain-pemain boling Malaysia pada peringkat Asia dan dunia.

Kenyataan itu menyebut, George mula dilantik sebagai Ahli Majlis Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) pada 1977, diikuti sebagai Naib Presiden (2001-2009) dan Naib Presiden Kanan (2009 ke 2015).

Dalam tempoh bersama MTBC itu, Uncle George diberikan tugas sebagai pengurus pasukan untuk pasukan tenpin boling negara ke pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk lima kejohanan sukan di bawah kelolaan MOM termasuklah Sukan SEA Singapura 1983, Sukan SEA Bangkok 1985, Sukan SEA Manila 1991, Sukan SEA Singapura 1993 dan Sukan SEA Chiang Mai 1995.

MOM turut menyatakan sumbangan George dalam pembangunan sepak takraw pada peringkat negeri, termasuk dilantik sebagai naib presiden Persatuan Sepak Takraw Wilayah Persekutuan dari 2002 hingga 2009 dan sebagai timbalan presiden sejak 2009 sehingga sekarang, selain keprihatinan terhadap komuniti kurang upaya di mana beliau menubuhkan Persatuan Pemulihan dan Rekreasi Orang Kurang Upaya Selangor.

Sementara itu MTBC juga turut menyampaikan ucapan takizah atas pemergian George untuk keluarganya dan menyatakan yang ahli keluarga tenpin boling akan merindui mendiang atas apa yang telah beliau sumbangkan dalam sukan, terutamanya dalam sukan tenpin boling.

-- BERNAMA