Hari Merdeka bakal tiba tak lama lagi dan selepas sahaja kita menikmati hujung minggu yang panjang, mulalah kita bekerja/belajar/menganggur di bulan September pula. Ini juga bermakna bahawa model terbaru daripada Perodua, iaitu Axia, akan diperkenalkan secara rasmi.

Tarikh khusus tidak diberikan; CEO & Presiden Perodua, iaitu Datuk Aminar Rashid Salleh sendiri tidak dapat mengesahkan bila hari sebenar pelancaran ini akan diadakan. “Yang pasti, ia akan diadakan bulan September, Insya Allah”, kata beliau.

Datuk Aminar Rashid berkata begitu sewaktu sesi uji pandu tertutup yang diadakan untuk pihak media minggu lepas. Drebar turut dijemput dan laporan ini akan menerangkan sedikit mengenai kereta kompak terbaru ini tetapi jangan harapkan terlalu banyak. Ini kerana masa uji pandu sangatlah singkat beserta laluan yang menghadkan kelajuan.

Pertama sekali, Axia tidak akan menggantikan model Viva – buat masa ini. Disebabkan ada pertindihan dari pelbagai sudut, termasuk harga dan saiz segmen A yang kedua-dua model kongsi, varian-varian Viva 660cc dan 1.0 liter akan dihentikan. Mengikut perancangan syarikat, hanya model dengan enjin 850cc yang akal dikekalkan. (Nota: pada masa artikel ini ditulis, laman web Perodua masih lagi menyenaraikan varian 660 BX dan 660 EX)

Sejumlah empat varian akan diperkenalkan iaitu: E,G, SE dan Advance. Kesemuanya menggunakan enjin 3 silinder 1.0 liter yang dibuat menggunakan aluminium (buat pertama kali oleh Perodua). Jumlah kuasa yang dihasilkan adalah 66hp dan 90Nm. Seperti yang telah kami terangkan di sini, harga bermula daripada RM24,900. Sebenarnya, harga sudahpun didedahkan kepada kami tetapi Datuk Aminar ada berkata bahawa mungkin akan ada perubahan di masa kereta ini dilancarkan. Kita tengoklah…

Selain dari kotak gear 4-kelajuan, terdapat juga pilihan untuk manual 5-kelajuan. Tetapi transmisi manual hanya untuk varian yang lebih mahal.

Dari segi rekaan, kesemua varian kompak 4 pintu ini mempunyai bentuk yang sama, tetapi dengan dua gaya yang tersendiri. Varian-varian E dan G tampak kurang garang berbanding SE dan Advance (yang lebih mahal).

Ujian Asean NCAP yang telah dijalankan memberi markah empat bintang ke atas Perodua Axia.

Dari Kerusi Pemandu
Penulis pada mulanya kecewa kerana stereng tidak boleh diubah, tetapi pemandu masih boleh mendapat kedudukan optimum hanya dengan menggerakkan kerusi . Kualiti pemasangan dan bahan-bahan yang digunakan terasa bagus. Bagi saya sendiri, ia tidak sebaik Alza ataupun Myvi – dan ini tidak memeranjatkan – tetapi ia nyata lebih bagus daripada apa yang ada di dalam Viva.

Perhatian terpaksa diberikan kepada dua kualiti yang Perodua akan gunakan untuk ‘menjual’ Axia ini: 1) Ia adalah sebuah EEV, dan 2) Ia direka untuk memberikan pakej terbaik, namun faktor kos menghadkan apa yang Axia ini boleh persembahkan.

Pengalaman saya bermula dengan varian ber-kotak gear auto. Pecutan awal seperti yang dijangka dan mungkin setanding dengan Viva. Boleh tahan, memandangkan Viva adalah lebih ringan dan dilengkapi enjin 4 silinder. Pun begitu, pandu uji ini hanya dibebankan dengan dua orang (saya dan wakil Perodua), tanpa bagasi ataupun apa-apa kargo lain. Kadar NVH sangat senyap meskipun laluan pandu uji membuatkan halaju maksima hanya sekadar 80km/sj.

Ia sebuah kereta yang senang untuk dipandu dan anda mungkin hanya perlu bersedia untuk memberikan lebih usaha di dalam mengerjakan stereng terutamanya pada kelajuan rendah. Bukan kerana ia terasa berat tetapi kerana keadaan seakan ‘turn-in understeer’ sentiasa ada pada selekoh.

Varian dengan kotak gear manual terasa lebih gigih dalam menyampaikan kuasa dan tork yang datang daripada enjin. Tetapi lontaran gear terasa longgar dan tidak yakin; bahkan capaian ke gear 3 bagaikan menumbuk bantal. Saya sangat teragak-agak untuk melepaskan klac kerana tidak yakin bahawa gear telah masuk dengan betul.

Dari segi keselesaan dan pengendalian, Axia ini tidak jauh daripada pencapaian Viva. Perodua sendiri kurang bercakap mengenai sistem suspensi kereta serba baru ini, mungkin kerana banyak lagi perkara yang boleh diketengahkan.

Perkara yang paling positif mengenai Axia adalah saiznya. Berbanding Viva, kesemua penumpang di dalam Axia ini mendapat ruang yang banyak. Tidak keterlaluan jika mengatakan bahawa ia setanding dengan Myvi. Untuk kesenangan semua, kedua-dua kerusi dipasang dengan cangkuk untuk menggantung, sebagai contoh, makanan yang dibungkus. Terdapat juga cangkuk khas bagi menggantung beg tangan wanita.

Bagi yang ternanti-nanti pelancaran kereta ini, saya syorkan untuk anda melihat sendiri Axia ini pada hari ia bakal memasuki pasaran. Saiz kabinnya pasti akan menggembirakan semua, terutamanya jika anda salah seorang yang telahpun menempah model ini.

Persoalan mengenai penggunaan petrolnya masih memerlukan kami untuk memandu uji untuk tempoh yang lebih lama. Namun sebagai kereta yang diklasifikasikan sebagai penerima pertama status EEV di Malaysia, ia tiada sebab untuk menghampakan.

- Ahmad 'Cimatt' Zulizwan