KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung isu pemeriksaan datang bulan di sekolah-sekolah awam agar tampil membuat laporan polis.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, sehingga kini tiada laporan dibuat oleh mana-mana pihak meskipun isu terbabit mendapat reaksi pelbagai pihak. 

"Memang betul ramai yang bercakap (tentang isu itu). Tapi setakat ini saya semak dengan Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), tidak ada laporan dibuat oleh mana-mana pihak.

"Jika tak ada report pun, kita boleh minta sesiapa atau polis sendiri buat report tetapi....perkara asasnya, siapa yang timbulkan isu ini? Polis nak tahu dimana dan bila kejadian ini berlaku? Siapa mangsanya?" katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Ujarnya, walaupun tiada laporan polis dibuat, namun jika ada pihak yang sudi tampil membantu siasatan atau memberikan maklumat lanjut, perkara itu boleh disiasat.

"Kalau tidak ada orang buat report, Polis boleh buat report untuk kami buka siasatan. Siapa yang timbulkan isu ini should be responsible enough to come forward. 

"Polis akan bantu sama ada untuk buat repot atau apa jua tindakan yang boleh kami buat," jelasnya lagi.

Sebelum ini tular di laman Twitter beberapa pelajar mendedahkan amalan pemeriksaan itu terjadi di sekolah, dan mereka mendakwa turut diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa.

Ia turut mendapat reaksi pelbagai pihak.

Menurut Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal, wujudnya unsur-unsur gangguan dan penderaan seksual ketika melakukan perbuatan tersebut.

Tindakan itu juga jelasnya didapati melanggar Perkara 28 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (UNCRC) yang telah diratifikasi oleh Malaysia pada tahun 1995, dimana adalah wajib untuk memastikan sekolah melaksanakan disiplin selaras dengan hak dan kemuliaan kanak-kanak.