PASIR MAS: Kemudahan pemeriksaan kesihatan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kiambang memudahkan mangsa banjir yang memerlukan rawatan ringan.

Noor Aidi Ismail, 58, dari Kampung Serongga berkata perkhidmatan yang disediakan petugas Klinik Kesihatan Kangkong dan Pusat Perubatan Angkatan Tentera Malaysia Kem Pengkalan Chepa memberi kesempatan buat dirinya memeriksa tahap kesihatan setelah tiga hari menghuni PPS itu.

Beliau yang menghidap penyakit jantung melahirkan rasa syukur perkhidmatan pemeriksaan kesihatan disediakan memandangkan terdapat ramai mangsa yang mungkin mengalami kecederaan akibat banjir ataupun kurang sihat ketika berada di PPS.

"Sekurang-kurangnya kami tahu kebajikan dan kesihatan kami terjaga kalau berada di sini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS SK Sri Kiambang hari ini.

Rusni Sasilor, 25, pula menceritakan anaknya yang berusia dua tahun dirawat petugas perkhidmatan itu selepas disengat serangga ketika berada di PPS tersebut.

"Mujur ada rawatan di sini. Alhamdulillah anak saya tidak apa-apa," katanya.

Sementara itu, petugas kesihatan Kapten Dr Syed Amir Azfar Syed Ahmad berkata pihaknya bersama-sama petugas Kementerian Kesihatan (KKM) memberi fokus kepada tiga penyakit iaitu COVID-19, Acute Gastroenteritis (AGE) dan Conjunktivitis.

Selain itu, mereka yang berada di PPS juga boleh mendapatkan rawatan dan ubat-ubatan bagi penyakit biasa.

"Mangsa yang mempunyai preskripsi turut boleh mendapatkan ubat yang diperlukan sepanjang tempoh mereka berada di sini," katanya.

-- BERNAMA