Pemerkasa PLUS: Diskaun bil elektrik 10 peratus kepada sektor terjejas

Hasimi Muhamad
Mei 31, 2021 13:55 MYT
Muhyiddin berkata lanjutan tersebut berdasarkan penggunaan elektrik bermula Julai hingga September ini. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melanjutkan pemberian diskaun bil elektrik sebanyak 10 peratus kepada sektor yang terjejas akibat penularan COVID-19.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lanjutan tersebut berdasarkan penggunaan elektrik bermula Julai hingga September ini.
"Sehubungan itu, pengendali hotel, agensi pengembaraan dan pelancongan, premis dan kompleks membeli belah, pusat-pusat konvensyen, taman tema dan pejabat syarikat penerbangan tempatan layak menerima diskaun bil elektrik," katanya dalam Perutusan Khas Bantuan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di sini pada Isnin malam.
BACA: PM umum Pemerkasa PLUS, bantuan RM40bil untuk rakyat hadapi PKP 3.0
Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan juga bersetuju memberi potongan khas kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember ini.
Jelas beliau, ia bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.
"Selain itu, pelanjutan sehingga 31 Disember 2021 bagi pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan yang disediakan oleh pengendali hotel masih berterusan," ujar Perdana Menteri.
#PEMERKASA Plus #Bantuan COVID-19 #PKP 3 0 #MCO 3 0 #Muhyiddin Yassin #COVID-19 #diskaun bil elektrik