Pemerkasaan agenda Bumiputera memerlukan pelaksanaan strategi dan inisiatif yang berani dan radikal, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan telah mewujudkan Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) yang bertujuan menjadi platform tertinggi dalam usaha memperkasa pembangunan sosio-ekonomi bumiputera dan akan dipengerusikan Perdana Menteri.

"Pewujudan MKB ini adalah sebahagian kerangka intervensi strategik untuk memandu dan mempercepat pemerkasaan ekonomi Bumiputera melalui usaha peningkatan kapasiti dan keupayaan merentas pelbagai program, selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat.

Justeru, usaha pemerkasaan agenda Bumiputera perlu digembleng supaya lonjakan berganda mampu mengubah landskap ekonomi Bumiputera.

"Penyertaan Bumiputera dalam industri strategik yang berimpak tinggi dan berpotensi serta mempunyai nilai ditambah tinggi juga akan dipertingkatkan.

"Secara keseluruhannya, penekanan utama kerajaan dalam pemerkasaan Bumiputera akan diterjemahkan melalui penggubalan dasar, strategi dan inisiatif yang akan digarap secara terperinci melalui penyediaan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) 2021-2025 yang akan dibentangkan awal tahun depan," katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK), Mustapa berkata kerajaan sedar terdapat implikasi dasar dan kewangan.

Beliau berkata sehubungan itu kementerian, jabatan, agensi dan kerajaan negeri mempunyai tempoh lima bulan untuk mengkaji semula dasar dan menilai implikasi kewangan serta mengenal pasti kumpulan sasar masing-masing yang melibatkan program dan projek berkaitan pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.

Seperti yang diumumkan Jabatan Perangkaan pada 10 Julai, 2020 nilai purata PGK di peringkat nasional adalah RM2,208 bagi saiz isi rumah 3.9 orang, katanya.

"Penentuan sama ada isi rumah dikategorikan sebagai miskin atau tidak adalah bergantung kepada jumlah pendapatan bagi keseluruhan ahli isi rumahnya yang menerima pendapatan dalam sesuatu tempoh rujukan.

"Berdasarkan kepada Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Kemudahan Asas 2019, setiap isi rumah mempunyai nilai PGK tersendiri yang ditentukan berdasarkan umur ahli isi rumah, komposisi jantina, bilangan ahli isi rumah, lokasi dan harga item," katanya.

Beliau berkata PGK memang tersedia mengikut wilayah, negeri dan strata.

Berdasarkan penemuan Pendapatan Isi Rumah 2019, insiden kemiskinan di kawasan bandar merekodkan peratusan sebanyak 3.8 peratus berbanding kawasan luar bandar iaitu 12.4 peratus, katanya.

-- BERNAMA