KUALA LUMPUR:Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ada menyatakan yang dunia akan terus berdepan virus COVID-19 untuk satu tempoh masa dan masyarakat dunia perlu menerima hakikat untuk hidup dengan pandemik itu dalam norma baharu.
Tiga hari lepas, WHO juga memberi amaran rakyat di negara-negara miskin tidak akan divaksinasi hinggalah 2023.
Ini bermakna masyarakat dunia tidak akan benar-benar selamat untuk tempoh tiga tahun lagi.
Justeru, tindakan Putrajaya membuka hampir kesemua sektor ekonomi secara berperingkat dilihat sebagai antara langkah awal exit policy kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik itu yang melanda Malaysia sejak Januari tahun lepas.
Exit policy atau jalan keluar itu akan melihat kepada usaha meningkatkan kesedaran dan pematuhan rakyat kepada normal baharu (memakai pelitup muka, penjarakan sosial serta menjaga kebersihan diri) dan prosedur operasi standard (SOP) menangani COVID-19 dengan kerajaan hanya memainkan peranan dari segi penguatkuasaan dan pemantauan SOP itu.
Dalam kata lain, kerajaan akan memperkasakan individu, keluarga, komuniti dan sektor supaya secara sukarela menjaga keselamatan masing-masing ketika pihak berkuasa memulihkan ekonomi, menarik pelabur asing, menyediakan peluang pekerjaan, memastikan akses rakyat kepada vaksin dan mengawal sempadan negara.
Persoalannya, adakah ini pilihan terbaik Putrajaya dan adakah rakyat kita sudah bersedia?
Selepas setahun berperang dengan COVID-19 dalam tiga gelombang penularan, kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tentunya menyedari yang mekanisme kawalan pergerakan seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membawa implikasi negatif kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat.
Buktinya, ekonomi negara menyusut 3.4 peratus pada suku tahun keempat 2020 atau merosot 5.6 peratus bagi keseluruhan ekonomi negara tahun lepas.
Kelangsungan hidup rakyat juga terjejas apabila statistik Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan lebih 772,000 individu tidak bekerja atau bersamaan 4.8 peratus kadar pengangguran negara pada Disember tahun lepas.
Pakar ekonomi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff menyifatkan langkah Putrajaya membuka lebih banyak sektor ekonomi tetapi menumpukan penguatkuasaan pematuhan SOP adalah tepat dan sebagai antara langkah awal exit policy dalam menangani COVID-19 dengan mengimbangi keperluan ekonomi dan keselamatan rakyat.
"Kalau kita tengok pematuhan rakyat agak tinggi... hanya sekitar 1.5 peratus yang masih melanggar SOP. Keyakinan harus diberikan kepada rakyat, aktiviti ekonomi harus berjalan untuk survival rakyat," katanya kepada Bernama.
Kerajaan sejak tahun lepas melaksanakan beberapa langkah pantas dan berkesan untuk mengurangkan impak negatif COVID-19 terhadap pasaran buruh negara melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Mengakui inisiatif seperti program subsidi upah, geran perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan bantuan kewangan membantu rakyat dalam jangka masa tertentu, Ahmed Razman berkata aktiviti ekonomi harus dirancakkan kembali dengan memperkasakan amalan normal baharu dan pematuhan SOP dalam kalangan rakyat.
"Kita tidak boleh hanya guna strategi tutup ekonomi (PKP). Ekonomi perlukan masa untuk pulih," kata Ahmed Razman merujuk kepada PKP 2.0 yang dijangka memberikan impak dari segi penurunan kes jangkitan bermula hujung bulan ini selepas isu backlog atau tertunggak saringan COVID-19 diatasi.
Setakat ini, penularan kes harian COVID-19 masih mencecah empat angka iaitu melebihi 3,000 kes dan Kementerian Kesihatan dilaporkan optimis jumlah jangkitan akan berkurangan antara dua hingga tiga digit pada Mei dengan pelaksanaan PKP 2.0 yang setakat ini berkuat kuasa sehingga 18 Feb.
Difahamkan, kerajaan melalui mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai COVID-19 yang dipengerusikan Muhyiddin yang diadakan tiga kali seminggu dan turut membabitkan menteri-menteri besar dan ketua-ketua menteri, akan meneruskan langkah kawalan di pintu sempadan negara.
Tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan yang tidak mahu mengambil risiko terhadap ancaman mutasi baharu virus COVID-19 yang boleh menjejaskan keberkesanan vaksin yang bakal digunakan di Malaysia.
Statistik menunjukkan hanya kurang 10 kes import harian dilaporkan di Malaysia membuktikan keberkesanan kawalan sempadan selama ini, dan penurunan R-naught (kadar kebolehjangkitan) kepada 0.8 di Sabah juga dikaitkan dengan kawalan rentas sempadan yang berkesan di negeri itu.
Putrajaya juga dilapor akan meningkatkan proses saringan COVID-19, termasuk dalam kalangan pekerja asing yang diwajibkan bermula bulan ini, selain merancang untuk memberi vaksin percuma kepada warga asing di Malaysia.
"Dalam sains vaksin, jika dapat lebih ramai penerima vaksin, barulah kita selamat dan virus tidak menjangkiti orang lain," kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin yang dipetik media mengenai keputusan kerajaan memberikan vaksin percuma kepada semua penduduk, termasuk bukan warga negara.
Kerajaan menyasarkan 80 peratus populasi negara atau 26.5 juta individu akan diberikan vaksin percuma bermula hujung bulan ini dalam tiga fasa membabitkan petugas barisan hadapan, kumpulan berisiko tinggi dan fasa terakhir membabitkan golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas.
Untuk meyakinkan rakyat mengenai keselamatan vaksin Pfizer, Muhyiddin dilapor akan menjadi individu pertama di Malaysia menerima suntikan vaksin itu yang dijangka tiba di Malaysia akhir bulan ini.
Sebelum ini, beberapa pemimpin dunia termasuk Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden melakukan tindakan yang sama.
Apa yang pasti, pelan vaksinasi negara itu antara strategi penting kerajaan dalam memastikan keselamatan rakyat dan kelangsungan ekonomi negara apabila PKP diminimumkan pada masa akan datang.
Pakar kesihatan awam UPM Prof Madya Dr Malina Osman ketika ditanya tentang langkah kerajaan memperluaskan ujian saringan dan vaksin kepada warga asing menyifatkan langkah itu sebagai baik tetapi menegaskan pemerkasaan individu dan komuniti tentang normal baharu dan pematuhan SOP adalah lebih penting.
"Virus ini sudah ada dalam komuniti, lebih 50,000 kes aktif. Apa yang lebih penting adalah pendidikan dan kesedaran rakyat," katanya.
Jelaslah, pemerkasaan individu, komuniti dan sektor ekonomi terhadap normal baharu, pematuhan SOP dan menjaga keselamatan diri adalah pilihan exit policy bagi sesebuah kerajaan untuk menangani virus COVID-19 yang diramalkan terus aktif sehingga 2023.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Feb 14 2021
Tindakan Putrajaya membuka hampir kesemua sektor ekonomi secara berperingkat dilihat sebagai antara langkah awal exit policy kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangani pandemik itu. -Gambar fail
[INFOGRAFIK] PLKN 3.0 bermula pada 2025
PLKN 3.0 bermula pada 2025
Lelaki direman bantu siasatan penemuan mayat wanita
Polis Kuching menahan reman seorang lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita di dalam sebuah kereta di Jalan Tabuan Jaya, Kuching pada Sabtu malam
10 pemain berlatih di Akademi Badminton Malaysia
Selepas hampir tujuh bulan berlangsung, akhirnya Astro Kem Badminton sudah sampai ke Grand Finale.
[TERKINI] Tang Jie-Ee Wei naib juara, bawa pulang habuan RM445,089
Jaguh beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei hampir melakar sejarah untuk bergelar juara namun ditewaskan oleh pilihan kelapan kejohanan, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dalam aksi akhir Badminton Final Jelajah Dunia BWF di Hangzhou pada Ahad.
Kejadian berlaku berhampiran Tol Wangsa Maju
Sebuah kereta mewah hangus dalam kebakaran di Lebuhraya SPE, sebelum Hentian Tol Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
UMNO tidak terima atau benarkan ahli parti
UMNO tegaskan tidak menerima atau membenarkan mana-mana ahli parti melakukan tindakan lompat parti, termasuk dalam Kerajaan Perpaduan.
Guna saluran dalaman, jangan sampai berantakan
Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti supaya tidak menggunakan media sosial untuk meluahkan rasa tidak puas hati.
Langkawi Ferry Line Ventures batalkan kenaikan kadar tambang
Langkawi Ferry Line Ventures Sdn Bhd mengumumkan pembatalan kenaikan kadar tambang feri Langkawi ke Kuala Kedah dan Kuala Perlis bagi warganegara Malaysia yang diumumkan sebelum ini.
Polis buka siasatan dalaman terhadap anggota disyaki tunjuk isyarat lucah
Polis menjalankan siasatan dalaman terhadap seorang anggotanya yang didakwa menunjukkan isyarat lucah kepada seorang wanita dalam satu protes di ibu negara, Jumaat lepas.
Jelajah Dunia Akhir BWF: Izzuddin-Sze Fei naib juara, bawa pulang RM445,000
Beregu lelaki profesional negara, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei terlepas bergelar juara Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 selepas ditewaskan pasangan Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen
Belanjawan 2019: Usaha tingkatkan taraf hidup perlu mampan
Di dalam isu menangani kos sara hidup, penyelesaian jangka panjang yang terarah kepada penambahbaikan sistem ekonomi perlu diutamakan.