Pemilihan jawatankuasa pusat MCA yang bakal berlangsung 21 Disember ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan presiden parti.

Pada pemilihan itu bekas presiden, Datuk Seri Ong Tee Keat yang berharap melakukan kemunculan semula, bakal ditentang Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Gan Ping Sieu.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Seri Kong Cho Ha mengesahkan senarai calon presiden itu selepas proses pencalonan ditutup tepat jam 5.00 petang tanpa sebarang bantahan diterima.

Turut diumumkan ialah pertandingan satu lawan satu antara Datuk Dr Wee Ka Siong dan Donald Lim Siang Chai yang merebut jawatan timbalan presiden MCA.

Sembilan calon turut disenarai merebut jawatan naib presiden.

Mereka ialah, Datuk Lee Chee Leong, Datuk Hou Kok Chung, Dr Leong Yang Kong, Datuk Chua Tee Yong, Datin Chew Mei Fun, Cho Ha, Datuk Wee Jeck Seng, Lee Wei Kiat dan Datuk Chong Itt Chew.

Secara keseluruhannya, 186 calon mengemukakan borang pencalonan bagi merebut 96 jawatan dalam parti itu.

Daripada 96 jawatan itu, 31 adalah untuk barisan kepimpinan utama MCA, 34 jawatan dalam sayap pemuda dan 31 jawatan dalam sayap wanita.