KLANG: Seorang pemilik anjing bernama Rocky dan lelaki yang menjadi sasaran kecaman selepas insiden kekecohan operasi penangkapan anjing liar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas satu pertuduhan, menarik dan menjerut sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu tiga minggu lalu.
S Roghini Devi, 42, dan penghantaran barang, Muhammad Shah Idham Nor Haikal Shaharom, 24, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mujib Saroji.
Mengikut pertuduhan, Roghini Devi didakwa secara tidak munasabah telah menarik sementara Muhammad Shah Idham Nor Haikal dituduh menjerut satu anjing jantan menggunakan peralatan gelung tali 'loop' sehingga menyebabkan kesakitan ke atas haiwan itu.
Kesalahan didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Sama Gagah, Taman Telok Gedung Indah, Pelabuhan Klang di sini, antara jam 11 hingga 11.30 malam pada 29 Julai.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000, penjara maksimum 3 tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - Sinar Harian
[BERITA LANJUT MENYUSUL]