KUBANG PASU: Pemilik gudang melecur dan mengalami kerugian lebih RM100,000 selepas gudang penyimpanan jerami miliknya di Kampung Batu 4 Sanglang, di sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Pemilik premis berkenaan, Azli Che Ahmad, 44, berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, api marak dengan cepat membakar hampir keseluruhan jerami yang berada di dalam gudang terbabit.

Menurut Azli, ketika itu dia bersama empat lagi pekerja sedang melakukan kerja-kerja kimpalan besi dinding gudang.

Katanya, tiba-tiba percikan api kimpalan itu menyambar jerami mengakibatkan kebakaran.

Azli berkata, dia bersama pekerja lain cuba memadam api namun gagal kerana ketika itu angin kencang menyebabkan api merebak dengan cepat.

“Waktu kejadian saya tengah buat kerja baik pulih, tiba-tiba api daripada kerja saya terkena pada bahan simpanan (jerami) api mula merebak.

“Saya cuba selamat (api) daripada merebak menggunakan forklift (jentera pengankut) tiba-tiba forklift pula tersangkut… bila tersangkut api bertambah marak dan terpercik kena pada tangan saya dan melecur,” katanya.



Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Bustan Karuddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.21 pagi dan sepasukan anggota bersama jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak dan bomba dimaklumkan terdapat seorang mangsa cedera melecur pada tangan kanan sewaktu cuba memadamkan api.

Tindakan awal Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) membawa mangsa ke Klinik Kesihatan berdekatan untuk menerima rawatan.



Menurut Bustan, api berjaya dikawal daripada merebak ke kawasan rumah yang terletak 100 meter daripada gudang terbabit.

“Kebakaran turut memusnahkan dua buah kenderaan iaitu sebuah forklift (jentera pengangkut) dan sebuah motosikal.

“Selain itu, pasukan bomba juga menerima bantuan daripada tiga buah bomba sukarela dan juga Balai Bomba Penyelamat Arau dianggotai oleh hampir 33 orang anggota,” kata Bustan.

Beliau berkata, api berjaya dikawal jam 12 tengah hari dan siasatan awal mendapati gudang terbabit musnah hampir 60 peratus.

Katanya, punca akibat percikan api daripada kerja kimpalan besi dinding gudan dan nilai kerugian sebenar masih dalam siasatan.