KUALA TERENGGANU: Seorang pemilik syarikat didenda RM14,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini kerana mengemukakan dokumen palsu bagi menuntut insentif Program Penjana Kerjaya 2.0 (Penjana) berjumlah RM85,500.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu ke atas Burhanuddin Helmi Che Awang, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang dihadapinya.

Tertuduh didenda RM6,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar bagi pertuduhan pilihan pertama, manakala RM8,000 atau penjara tiga bulan penjara untuk pertuduhan pilihan kedua. Dia membayar denda berkenaan.

Burhanuddin Helmi didakwa dengan curangnya menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi membuat tuntutan RM40,600 yang tertuduh mempunyai kepentingan terhadap dokumen itu yang mengandungi butir matan palsu iaitu nama pekerja sedangkan penama bukan kakitangan syarikatnya.

Bagi pertuduhan pilihan kedua, tertuduh didakwa menggunakan borang dengan butiran palsu untuk tujuan sama yang turut diserahkan kepada ejen Perkeso bagi membuat tuntutan insentif bernilai RM44,900.

Kedua-dua perbuatan itu dilakukan di Wisma Perkeso, di sini, masing-masing pada 18 dan 19 Jun 2021.

Pertuduhan pilihan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pertuduhan asal adalah mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(2) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mariah Omar dan Tengku Nurul Haziqah Tuan Yacob memohon hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Burhanuddin Helmi yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan perlu menyara isteri dan empat anak termasuk dua Orang Kurang Upaya (OKU) sebelum membayar denda yang dikenakan.

-- BERNAMA