Pemimpin DAP hadir taklimat isu jawi, khat

Sinar Harian
Ogos 5, 2019 23:53 MYT
Timbalan Menteri Pendidikan yang juga Setiausaha Antarabangsa DAP, Teo Nie Ching turut menghadiri taklimat berkaitan isu khat jawi di Ibu Pejabat DAP di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto SINAR HARIAN
Pemimpin-pemimpin DAP berkumpul di ibu pejabat parti itu di sini malam tadi bagi menghadiri sesi taklimat berkaitan isu khat jawi di sekolah vernakular.
Antara pemimpin tertinggi yang menyertai taklimat itu ialah Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Organisasi, Anthony Loke; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo; Naib Pengerusi DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Timbalan Setiausaha Agung, Teresa Kok serta pimpinan-pimpinan negeri.
Turut hadir, Setiausaha Antarabangsa DAP yang juga Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.
Bagaimanapun, pihak media dimaklumkan tiada sidang media diadakan malam tadi sebaliknya DAP akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai hasil taklimat itu hari ini.
Baru-baru ini, Nie Ching mengumumkan penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah dalam negara termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil.
BACA: Bukan Melayu juga ikuti kursus seni khat di universiti
BACA: Lip Eng disaran hayati sejarah tulisan Jawi - Mujahid
Pengumuman itu mendapat bantahan ramai pihak termasuk 138 pemimpin akar umbi dan 13 Ahli Dewan Undangan Negeri DAP.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam maklum balasnya berhubung isu itu berkata, keputusan kerajaan untuk memperkenalkan seni khat dan tulisan jawi bagi mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat adalah kekal.
BACA: Kerajaan tekad teruskan pengajaran tulisan khat - Tun M
BACA: Kementerian Pendidikan diminta bertegas laksana pengajaran tulisan khat
Kementerian Pendidikan sebelum itu menyatakan pengenalan tulisan khat ini bertujuan untuk menerapkan nilai-nilai warisan bahasa Melayu dan identiti negara.
Kerajaan turut memberi jaminan akan mengambil kira pendekatan penyampaian yang lebih mudah difahami dan tidak membebankan murid dan guru.
#Bantahan #buku teks #Cina #DAP #guru #JAWI #Kementerian Pendidikan #khat #pemimpin DAP #pendidikan #sekolah #Sekolah Jenis Kebangsaan #sekolah vernakular #taklimat #Tamil