JOHOR BAHRU: Pemimpin tanpa mengira latar belakang politik serta masyarakat di negeri ini perlu bersatu hati dalam membantu membebaskan negara daripada ancaman COVID-19, kata Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Beliau berkata hal ini kerana konsep "perang" bagi mencapai kemerdekaan ketika ini telah berubah bukan lagi mendapatkan kebebasan daripada belenggu penjajah seperti dahulu, sebaliknya melawan dan membebaskan negara daripada pandemik yang sedang melanda.

"Justeru, perpaduan terjalin selama ini perlu diteruskan tanpa mengira latar belakang politik. Setiap pemimpin dan masyarakat harus bersatu hati, memikir, melaksana dan menyegerakan solusi (penyelesaian) dari segi kesihatan mahupun ekonomi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Johor 2021 secara maya menerusi Facebook rasmi Jabatan Penerangan Negeri Johor, hari ini.

Beliau turut menyeru rakyat negeri ini untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, bangunan pejabat, gedung perniagaan dan kenderaan.

"Amalan mengibar Jalur Gemilang sudah menjadi kebiasaan di negara kita untuk pastikan rasa cinta kepada negara sentiasa subur dalam jiwa masyarakat berbilang kaum. Justeru jangan biarkan semangat itu luntur," katanya.

Hasni pada masa sama, berkata sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) pada tahun ini bertemakan Malaysia Prihatin, dilihat bertepatan dengan aspirasi kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19, sekali gus memulihkan ekonomi negara khususnya Johor.

Sementara itu, beliau berkata bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan beberapa program dirancang dengan kerjasama pelbagai jabatan dan agensi, antaranya Pertandingan Pidato Rukun Negara, Webinar Rukun Negara, TikTok Silang Budaya dan Kempen Kibar Jalur Gemilang.

Katanya program berkenaan diharap bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan dua hala antara jabatan, malah memupuk dan mendekatkan jalinan perpaduan antara masyarakat.

-- BERNAMA