PEMIMPIN Junta Myanmar, Min Aung Hlaing, mengumumkan memegang jawatan Perdana Menteri, dalam kerajaan interim negara itu.

Beliau dalam ucapannya pada Ahad turut mengulangi janji akan mengadakan pilihan raya untuk pemilihan kerajaan awam menjelang 2023.

"Untuk melaksanakan tugas negara dengan cepat, mudah dan efektif, dewan pentadbiran negara telah dibentuk kembali sebagai pemerintah sementara Myanmar," menurut pengumuman dibuat menerusi stesen televisen Myawaddy.

"Kami akan memenuhi ketentuan darurat menjelang Ogos 2023. Saya jamin penubuhan satu kesatuan yang berdasarkan demokrasi dan federalisme," kata  Aung Hlaing dalam ucapannya.

Perkembangan ini dilaporkan enam bulan selepas junta menggulingkan kerajaan awam dan merampas kuasa.

Aung Hlaing dalam masa sama turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan wakil khas ke Myanmar yang akan dilantik kelak.

Beliau sebelum ini mempengerusikan Lembaga Pentadbiran Negara (SAC) yang ditubuhkan sejak rampasan kuasa dan mentadbir Myanmar sejak itu.

SAC kemudian diubah menjadi kerajaan interim untuk memastikan pentadbiran lebih berkesan.

Junta melaksanakan rampasan kuasa selepas mendakwa pilihan raya yang dimenangi pemenang hadiah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi dicemari penipuan.

Dakwaan ini bagaimanapu dinafikan suruhanjaya pilihan raya negara itu.

Suu Kyi kemudian didakwa dengan beberapa tuduhan, termasuk dakwaan melanggar protokol COVID-19.