Kerajaan disaran agar memberi ruang kepada pemimpin muda untuk berada dalam pentadbiran agar ia selari dengan hasrat Wawasan 2020 kelak.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia, Anuar Manap melihat kerajaan juga perlu menitikberatkan soal-soal yang menjadi keutamaan rakyat negara ini dalam sudut ekonomi, pendidikan dan yang lebih utama menzahirkan masyarakat yang punya mentaliti kelas pertama.

Anuar berkata, beliau optimis wawasan itu akan dapat dicapai jika beberapa perkara utama seperti masalah ekonomi dan kejatuhan harga komoditi dapat diselesaikan.

"Saya optimis jika sekiranya ekonomi kembali pulih menjelang pertengahan atau hujung tahun ini, dan harga komoditi akan kembali kepada keadaan yang memberikan kesan yang cukup besar kepada negara kita termasuklah minyak, sawit dan juga getah.

"Wawasan 2020 ini kalaupun kita tidak boleh mencapainya pada tahun 2020, mungkin kita boleh mencapainya pada tahun 2025," katanya kepada Astro AWANI.

Namun jelasnya jika pemikiran rakyat masih berada di takuk lama dengan tidak bersedia menerima sebarang pembaharuan maka hasrat wawasan untuk menjadi negara maju tersebut tidak akan tercapai.

Katanya untuk memastikan kesediaan minda kalangan muda berumur 45 tahun ke bawah, usaha menyeimbangkan aliran akademik dan kemahiran adalah perlu.

Ini menurutnya bagi mengelakkan lambakan golongan akademik dan pekerja mahir.

"Persediaan dari sudut minda itu penting tetapi akademik dan kemahiran perlu diseimbangkan. Tidak terlalu ramai yang mahir dalam bidang akademik tapi kita kekurangan mereka yang ada kemahiran. Ketidakseimbangan itu sedang berlaku dalam negara kita," katanya.

Cara yang lebih tuntas jelasnya adalah dengan meletakkan pemimpin muda dalam pentadbiran kerajaan yang sememangnya membesar dengan hasrat tersebut.

"Kalau bukan orang muda yang diberi peluang, siapa lagi, saya kira untuk menghadapi generasi muda menjelang tahun 2020 dan seterusnya,

"Generasi muda sekarang ini perlu diberi peluang untuk diletakkan dalam pentadbiran kerajaan dan diperluaskan lagi skop mereka, walaupun duduk dalam kerajaan tetapi juga diletakkan dalam tempat antara pembuat keputusan.

"Dalam bidang politik mereka in perlu diberikan tempat di dalam GLC (Syarikat Berkaitan Kerajaan), melalui jawatan-jawatan tertentu yang boleh memberikan kesan dan keputusan untuk orang muda menjelang 2020," katanya.

Tambah Anuar yang juga Ahli Parlimen Sekijang, salah satu objektif Wawasan 2020 yang dilihat masih terlalu jauh untuk dicapai adalah dari sudut keseimbangan ekonomi antara Bumiputera dan bukan Bumiputera.

Agenda Bumiputera yang diletakkan dalam Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) baru-baru ini menjadi salah satu usaha yang cuba digerakkan kerajaan dalam mengatasi perkara itu namun ia memerlukan masa yang panjang untuk direalisasikan, katanya.