KUALA LUMPUR: Pemimpin parti-parti politik melahirkan rasa syukur apabila Hari Raya Aidilfitri kali ini disambut dalam suasana yang hampir normal, selepas dua tahun terkesan dengan pandemik COVID-19.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Ramadan dan Syawal ini disambut hampir seperti biasa dengan orang ramai boleh melakukan ibadah serta dapat mengunjungi ibu bapa dan sanak saudara ketika Aidilfitri.

"Hari raya kali ini, kita dapat bersama ibu bapa dan sanak saudara tercinta, bersalam-salaman dan bermaaf-maafan, kita dapat solat jemaah Hari Raya, berkunjung ke rumah sanak-saudara dan jiran tetangga, yang dahulunya 'dalam talian' dan kini sudah di depan mata," kata Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam hantaran video di laman Facebooknya hari ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi hantaran di laman Facebooknya berharap, rakyat dapat memanfaatkan waktu perayaan bersama keluarga, terutamanya bagi mereka masih mempunyai ibu dan bapa.

"Sambutan hari raya kali ini agak cemerlang kalau kita bandingkan dengan dua tahun sengsara tidak bersama dengan keluarga. Jadi, manfaatkanlah waktu ini bersama keluarga, terutamanya yang ada ibu bapa bagi mencurahkan kasih sayang dan kemudian silaturahim dengan sahabat andai," katanya.

Presiden Amanah Mohamad Sabu pula menasihatkan rakyat supaya bersederhana dan menjaga keselamatan diri ketika musim perayaan.

Sementara itu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan, yang bertugas sepanjang Hari Raya.

"Di samping kita merayakan hari raya bersama keluarga, marilah kita berdoa semoga pegawai dan anggota bertugas di Aidilfitri ini sentiasa sihat dan selamat menjalankan tugas yang diamanahkan demi negara," katanya menerusi Facebooknya.

-- BERNAMA