Para pemimpin wajib memberikan sebaik contoh tauladan untuk memupuk semangat saling memahami dan menghormati, agar rakyat dapat hidup dengan harmoni dalam sebuah negara yang aman dan makmur.

Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, semangat saling memahami antara kaum dan agama, sangat penting bagi menjamin keamanan dan ketenteraman sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Pertahanan negara akan menjadi rapuh jika warga yang terdiri daripada pelbagai kaum, pelbagai agama, gagal menjalinkan hubungan yang harmoni.

“Pertahanan negara akan menjadi lebih teguh apabila warga berjaya dipupuk menemui titik pertemuan, menghayati semangat bersatu dalam kepelbagaian,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena Majlis Sambutan Aidiladha dan Memperingati Hari Pahlawan di Dataran Kem Syed Putra, Jalan Tambun, di sini, hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Zulkarnain Sultan Idris.

Sultan Nazrin bertitah, daripada senarai penerima anugerah darjah Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Panglima Gagah Berani (PGB) membuktikan bahawa pertahanan dan keselamatan negara telah dipikul secara bersama oleh warga Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama dari pelbagai negeri dan wilayah.

Sambil menyebut nama-nama penerima SP dan PGB, baginda menyifatkan mereka warga Malaysia yang patriotik, yang mendukung semangat 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.

Senarai penerima SP termasuk Special Constable R Veloo, Konstabel Abu Bakar Ngah Wahab, Konstabel Fong Thean Kit, Inspektor Kartas Singh dan Pegawai Waran Kanang anak Langkau manakala penerima PGB termasuk Kapten R Shanmuganathan, Staf Sarjan Osman Ismail, Sarjan Choo Wah Soon dan Renjer Lan anak Gima.

Titahnya, dalam menjunjung amanah mempertahankan kedaulatan kemerdekaan negara dan memenuhi tanggungjawab memulihara keamanan negara, ramai anggota tentera dan polis berkorban, kehilangan nyawa serta cedera.

"Ketika kita sedang menghadapi juadah Aidiladha, beriang ria bersama keluarga dan jiran tetangga, ramai pula anggota tentera dan polis yang sedang bertugas baik di darat, air dan udara dan tidak kurang yang sedang menghadapi pelbagai ancaman," titah Sultan Nazrin.

Baginda yang kelihatan sebak kemudiannya mengajak para hadirin berdiri dan memberikan tepukan penghormatan kepada anggota tentera dan polis sebagai tanda menghargai khidmat bakti mereka.

Sultan Nazrin turut bertitah, dengan penentuan Ilahi, Aidiladha tahun ini diraikan pada tarikh yang ditetapkan sebagai Hari Pahlawan bagi menghargai dan memperingati jasa serta pengorbanan anggota pasukan pertahanan dan pasukan keselamatan, terutama mereka yang terkorban ketika melaksanakan tugas.

"Beta dan rakyat yang mengutamakan keamanan amat menghargai pengorbanan setiap anggota tentera serta setiap anggota polis.

"Semoga pengorbanan mereka diterima sebagai amal makruf yang diberikan ganjaran dunia, akhirat," titah baginda sambil mengajak para hadirin memberikan tepukan penghormatan terhadap anggota keselamatan.