SUBANG : Pemimpin di negara ini perlu memberi penekanan terhadap tadbir urus yang cekap sekali gus mengelakkan dana negara lesap, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, rangka kerja teoretikal perlu diterjemahkan ke dalam rangka kerja dasar yang betul sebelum diikuti dengan pelan tindakan bagi mencapai matlamat berkenaan.

"Pada fikiran saya, rangka kerja teoretikal falsafah adalah perlu tetapi ia mesti diterjemahkan ke dalam rangka kerja dasar yang betul... dan diikuti kemudian pelan tindakan.

"Tetapi jika anda komited untuk melaksanakan dasar atau memperkenalkan program tertentu, tanpa rangka kerja falsafah yang luas ini, kita akan gagal.

"Kita telah gagal sejak beberapa dekad yang lalu. Kita seolah-olah bergelut dan tertanya-tanya, apa untungnya kita sebagai sebuah negara, sebagai rakyat Malaysia.

"Saya merujuk di sini, tentang keperluan untuk AI (kecerdasan buatan) dan pendigitalan. Ya, kerajaan sedang berusaha keras untuk 5G, saya tidak menolaknya dari segi prinsip, tetapi di manakah ketelusannya?

"Adakah anda memerlukan 4G atau 5G? Dalam masa enam bulan, adakah kita akan mempunyai 6G? Ini perlu dibincangkan, jika tidak, motif utama ialah... bagaimana anda boleh mengabaikan dan membazir berbilion-bilion, atas nama teknologi baharu.

"Itulah kebimbangan saya," katanya pada majlis pelancaran buku Script: For A Better Malaysia, pada Ahad.

Buku berkenaan mengetengahkan visi dan kerangka dasar yang menjadi matlamat Anwar dalam usaha mentransformasikan Malaysia.

Buku itu, jelas Anwar, membicarakan pelbagai situasi yang sangat kompleks, namun untuk menyelesaikannya, ia perlu dimulakan dengan cara mengakui masalah yang timbul.

"Tetapi di sini kita mempunyai pemimpin yang berulang kali, menegaskan bahawa tidak ada masalah. Ringgit jatuh tetapi tidak seteruk pound atau yuan.

"Kita ada masalah dan masalah itu bertambah kerana ia diabaikan. Anda (perlu) mulakan dengan mengakui, ya, kita mempunyai masalah... bukan sahaja wang ringgit, tetapi juga kemiskinan yang semakin meningkat, ketaksamaan yang semakin meningkat... isu iklim, isu migrasi, pengangguran.

"Saya ada pengalaman sebagai Menteri Kewangan, agak lama, lapan tahun. Jadi apabila anda mengalami krisis, anda harus segera bertindak, cari penyelesaian... dan anda memberitahu orang ramai bahawa kita mempunyai masalah, anda tidak boleh menolaknya seperti yang berlaku hari ini.

"Saya menyokong Dasar Ekonomi Baru. Saya tidak menyesal katakannya, kerana ia adalah tuntutan buat masa itu dan kejayaan separanya adalah mobiliti sosial.

"Anda boleh lihat kumpulan atau komponen pelajar termiskin di Universiti Malaya atau Universiti Teknologi MARA, diberi peluang.

"Tetapi kegagalannya adalah penyalahgunaan dasar. Anda memperkayakan golongan elit politik, anak-anak anda, keluarga anda.

"Yang paling penting adalah saya fikir, hampir tanpa pengecualian, semua pemimpin penting utama di negara ini semuanya telah memperkayakan diri mereka melebihi apa yang dianggap munasabah," dakwanya.