KOTA KINABALU: Pemimpin tempatan termasuk ketua kampung perlu memainkan peranan membantu kerajaan mencegah penularan wabak COVID-19 dengan memastikan komuniti di kawasan masing-masing mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk ketika majlis sosial diadakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata pemimpin tempatan seharusnya peka dengan arahan dikeluarkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa dan menyalurkan maklumat itu kepada masyarakat setempat bagi meningkatkan lagi pematuhan.

"Kerjasama daripada pemimpin tempatan dan ketua kampung amat diharapkan agar dapat membantu kerajaan memastikan penduduk sentiasa mematuhi SOP.

"Ini termasuk meningkatkan kesedaran masyarakat kampung tentang perlunya menjalani kehidupan dengan pengamalan budaya norma baharu dalam kehidupan seharian," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan COVID-19 memaklumkan Kluster Sinsingon di Nabawan dikenal pasti merebak melalui perkumpulan orang ramai yang menghadiri upacara pengebumian dan kegagalan melakukan penjarakan fizikal.

Menurutnya, kluster itu melibatkan 15 kampung dengan kes kumulatif sebanyak 177 kes positif dan turut merebak ke Beaufort serta Kota Kinabalu.

Justeru, Masidi berkata berdasarkan kepada penilaian risiko dan penelitian Kementerian Kesihatan (KKM), Perintah Kawalan Pergerakan akan dilaksanakan di Nabawan mulai esok (3 Mac) hingga 16 Mac bagi mengawal penularan COVID-19.

Dalam hal yang berkaitan, Masidi berkata kerajaan negeri membuat ketetapan bahawa aktiviti merentas daerah bagi menghadiri majlis pengebumian, hanya dibenarkan kepada pemohon yang mempunyai hubungan kekeluargaan seperti ibu bapa, adik-beradik dan keluarga terdekat, tertakluk kepada kebenaran polis.

Menurutnya negeri di bawah bayu itu hari ini, merekodkan sebanyak 104 kes positif baharu menjadikan jumlah kumulatif wabak COVID-19 di Sabah kepada 52,990 kes dengan dua kematian dilaporkan, masing-masing di Tenom dan Keningau.

Seramai 74 pesakit COVID-19 dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 51,436 orang, katanya.

-- BERNAMA