Seorang bekas pegawai kanan dari Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa pemindahan pemilikan SRC International Sdn Bhd kepada Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) tidak melibatkan sebarang pembayaran tunai tetapi hanya melalui pemindahan saham.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi, 64, berkata kaedah yang dinyatakan di dalam deraf memorandum pemindahan tersebut adalah bayaran interim daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada kerajaan.

Merujuk kepada draf memorandum pengambilalihan SRC daripada 1MDB ke MKD, beliau berkata pembayaran interim bermaksud tiada sebarang pembayaran melibatkan wang tunai tetapi hanya pemindahan saham daripada 1MDB kepada MKD.

Saksi pendakwaan ke-44 itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-34 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salahguna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Suhaimi: Rujuk draf memorandum tersebut, ada dijelaskan pengambilan secara "dividend-in-specie" dan telah diberi tulisan tebal (bold) dan digariskan (underlined). Boleh jelaskan mengapa perlu beri perhatian kepada perkataan tersebut?

Mat Noor: Kita mahu tekankan yang pengambil alihan ini tidak melibatkan sebarang peruntukan kewangan.

Frasa "dividend-in-specie" bermaksud pemindahan aset dalam bentuk semasa (saham) dan bukannya dalam jumlah wang tunai bersamaan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib, saksi itu bersetuju bahawa pemberian dana kepada SRC adalah berdasarkan Rancangan Malaysia ke-10 yang bidang utamanya adalah bekalan sumber asli yang berterusan.

Harvinderjit: Polisi dan dasar pembangunan yang dinyatakan dalam rancangan ini telah diluluskan oleh Kabinet. Adakah anda setuju kalau di Malaysia barisan Kabinet adalah pembuat keputusan muktamad di mana Kabinet membuat keputusan sebagai sebuah badan. Bukan hanya seorang menteri tetapi kolektif.

Mat Noor: Ya

Harvinderjit: Di bawah akta MKD, MKD bukanlah seorang menteri?

Mat Noor: Seingat saya MKD ialah Menteri Kewangan dan Menteri Kewangan Incorporated adalah Menteri Kewangan.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan peguam bahawa MKD berada di bawah seliaan kedua-dua Menteri Kewangan iaitu Najib dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 2011 dan 2012.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-- BERNAMA