Pemisahan kuasa Pendakwa Raya, Peguam Negara perkukuh proses pendakwaan, lebih bebas

Mohd Dusuki berkata, implikasi pengasingan kuasa itu akan menyebabkan Peguam Negara tidak lagi mempunyai bidang kuasa dalam aspek pendakwaan seperti yang diperuntukkan ketika ini. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan mengukuhkan proses pendakwaan yang lebih bebas tanpa campur tangan daripada mana-mana pihak terutama melibatkan kes berprofil tinggi.
Ringkasan AI
- Pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara bertujuan mengukuhkan proses pendakwaan yang lebih bebas tanpa campur tangan pihak lain, khususnya dalam kes berprofil tinggi.
- Keputusan Kerajaan MADANI merangka Rang Undang-Undang (RUU) pemisahan kuasa ini dapat menangkis persepsi bahawa Pendakwa Raya terikat dengan arahan eksekutif, membenarkan Pendakwa Raya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pendakwaan dan kes jenayah.
- Pemisahan kuasa ini disokong oleh pakar undang-undang dan peguam yang melihat bahawa langkah ini akan mengurangkan konflik kepentingan politik, memastikan kebebasan pendakwaan, dan memperkukuh institusi keadilan.
"Kuasa berkaitan pendakwaan serta semua perkara yang melibatkan kes jenayah akan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab Pendakwa Raya," katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Pada Isnin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa Perutusan Tahun Baharu 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri berkata, RUU pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara adalah undang-undang pertama yang akan dibentangkan pada sesi Parlimen, bermula 19 Jan ini.
Berkongsi pendapat sama, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Yaacob Md Sam berkata, pemisahan kuasa itu akan menepis tanggapan umum bahawa Pendakwa Raya menjalankan fungsinya atas arahan dan pengaruh eksekutif khususnya Kabinet, Perdana Menteri dan Kerajaan.
"Kedudukan dual fungsi utama ini menyebabkan Peguam Negara yang sekali gus merupakan Pendakwa Raya sering mengalami dilema dan gangguan dalam menjalankan tugas secara bebas tanpa campur tangan eksekutif dan kerajaan.
"Dalam mengelakkan persepsi sedemikian oleh masyarakat, adalah wajar untuk fungsi dan kuasa pendakwaan diasingkan melalui pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan," kata bekas hakim itu.
Peguam Razman Sahat pula berpandangan, susulan pemisahan kuasa itu, Peguam Negara akan kekal sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan dan tidak lagi mempunyai kuasa untuk menjalankan pendakwaan, seperti yang diperuntukkan sebelum ini di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.
"Apabila pindaan ini dilaksanakan, peruntukan berkenaan akan berakhir dengan penubuhan sebuah badan baharu khusus untuk menjalankan fungsi pendakwaan yang lebih bebas dan berasingan.
"Ini dijangka dapat mengurangkan konflik kepentingan dari segi politik dan pendakwaan, selain memastikan semua kes jenayah dinilai oleh badan pendakwaan yang tidak lagi memegang peranan sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan," katanya.
Peguam Mahmud Jumaat pula berkata, pertindihan peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan dan pada masa sama sebagai Pendakwa Raya telah lama menjadi kritikan kerana ia mewujudkan persepsi bahawa keputusan pendakwaan boleh dipengaruhi oleh kepentingan politik.
"Contohnya, beberapa kes berprofil tinggi yang tidak diteruskan atau ditarik balik telah menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan kebebasan pendakwaan. Pemisahan kuasa ini akan memberikan mekanisme semak dan imbang yang jelas terhadap kuasa pendakwaan yang turut menjadi faktor utama mendorong kepada reformasi ini," katanya.
Turut berkongsi pendapat sama, Presiden Majlis Peguam Malaysia, Datuk Mohamad Ezri Abdul Wahab yang menyifatkan RUU berkenaan sebagai reformasi institusi yang diharapkan dapat menyelesaikan pelbagai anggapan tentang ketelusan institusi keadilan di Malaysia.
"Saya percaya bahawa terdapat pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan yang perlu dilaksanakan dan itu memerlukan dua pertiga undian untuk lulus sebagai langkah pertama dalam memisahkan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara. Sekiranya betul itu adalah perancangannya, saya menyeru agar semua ahli Parlimen untuk menyokong pindaan ini," katanya.
Menyambut baik RUU itu, peguam Muhammad Amin Abdullah menyifatkan langkah berkenaan membolehkan kedua-dua entiti menjalankan fungsi masing-masing secara lebih berkesan sekali gus keputusan untuk mendakwa atau sebaliknya akan dilihat lebih adil kerana tidak lagi dipengaruhi oleh pertimbangan politik atau peranan eksekutif.
"Pengasingan kuasa tersebut akan memperkukuh institusi pendakwaan kerana Pendakwa Raya dapat berfungsi secara bebas, neutral serta berpaksikan kepada kepentingan awam dan keadilan jenayah, selain terhindar daripada sebarang pengaruh politik," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


