KUALA TERENGGANU:Seorang pemotong rumput dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana merogol seorang kanak-kanak berusia 10 tahun di sebuah rumah di Kuala Nerus di sini pada Ogos lalu.

Wan Muhammad Eduan Wan Muhammad Najib, 26, turut didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap adik lelaki mangsa berusia lapan tahun.

Bagi pertuduhan pertama, dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merogol mangsa kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu di sebuah rumah di Kuala Nerus, kira-kira jam 12 tengah malam, 31 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2) (e) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun, jika disabitkan kesalahan.

Tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap adik lelaki mangsa di rumah yang sama, kira-kira jam 2 petang, pada 16 September lalu.

Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Mahkamah menetapkan 24 November depan untuk menjatuhkan hukuman sementara menunggu fakta kes.

Selain itu mahkamah juga tidak membenarkan sebarang jaminan terhadapnya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.