Pempengaruh media sosial didakwa tumbuk pekerja OKU restoran makanan segera

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes. - Gambar hiasan
PETALING JAYA: Seorang pempengaruh media sosial mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menumbuk seorang pekerja restoran makanan segera yang merupakan orang kurang upaya (OKU) bulan lepas.
Ringkasan AI
- Seorang pempengaruh media sosial didakwa menumbuk seorang pekerja restoran OKU di Seri Kembangan bulan lepas.
- Pempengaruh media itu, Nalinee Kothandabani, menafikan kesalahan dan diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
- Kejadian itu berpunca daripada pertengkaran di media sosial, dan mangsa mengalami kecederaan di pipi kiri dan bibir.
Timbalan Pendakwa Raya Syed Ahmed Khabir Abdul Rahman menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, namun peguam Dinesh Muthal yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah sekitar RM500 atas alasan anak guamnya merupakan penanggung utama keluarga.
"Anak guam saya menetap di Johor Bahru dan telah memberikan kerjasama baik kepada pihak polis semasa siasatan selain hadir sendiri ke mahkamah untuk menghadapi pertuduhan pada hari ini," kata peguam.
Majistret Amira Sariaty Zainal membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 17 Mac ini untuk sebutan semula kes.
Pada prosiding hari ini, peguam Lavendran Nair hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak mangsa.
Pada 18 Dis lepas, media melaporkan polis telah memanggil seorang suspek wanita yang disyaki menyerang seorang wanita OKU di sebuah restoran makanan segera di Serdang Raya, susulan pertengkaran di media sosial.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP Muhamad Farid Ahmad berkata mangsa mengalami lebam di pipi kiri dan bibir akibat kejadian itu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


