Pempengaruh media sosial, Rambo Castello meninggal dunia di Jogjakarta

Rambo Castello meninggal dunia jam 2.38 pagi Jumaat waktu Indonesia selepas ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta sejak 5 Okt lalu akibat serangan jantung. - Foto Sinar Harian
KOTA BHARU: Pempengaruh media sosial, Rambo Castello meninggal dunia jam 2.38 pagi Jumaat waktu Indonesia selepas ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta sejak 5 Oktober lalu akibat serangan jantung.
Ringkasan AI
- Pempengaruh dan kakitangan PPD Jeli, Rambo Castello atau Ahmad Radzli Che Ngah, meninggal dunia pada jam 2.38 pagi Jumaat di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta akibat serangan jantung dan komplikasi paru-paru.
- Jenazah Allahyarham dijangka dibawa pulang ke Malaysia hari iniuntuk dikebumikan di Kampung Legeh, Air Lanas, Jeli, selepas selesai urusan bersama kedutaan Malaysia.
- Sebelum meninggal, Allahyarham sempat sedarkan diri dan berinteraksi dengan isteri serta anak ketiga, walaupun masih bergantung kepada alat bantuan pernafasan sejak dimasukkan ke hospital pada 5 Oktober.
Menurut Hafizul Fazli, sebelum meninggal dunia bapanya sempat sedarkan diri pada Rabu.
"Alhamdulillah, saya dan ibu dapat berinteraksi dengannya. Walaupun bapa tidak dapat bercakap namun dia senyum dan mengangguk semasa kami berbual dengannya.
"Kami dimaklumkan punca kematian bapa ialah akibat serangan jantung serta jangkitan pada paru-paru, kerana semasa rawatan dia diserang asma," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, ketika ini mereka sedang menunggu pihak kedutaan untuk menguruskan proses membawa pulang jenazah bapa ke Malaysia.
Ujarnya, jenazah telah siap dimandikan dan dijangka diterbangkan pada hari ini namun waktu belum dimaklumkan lagi.
Hafizul Fazli memberitahu, jenazah Rambo Castello akan dikebumikan di Kampung Legeh, Air Lanas, Jeli.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan keluarga merayu kerajaan agar membawa pulang pempengaruh itu yang ditidurkan di hospital di Jogjakarta sejak 5 Oktober lalu akibat serangan jantung.
Cikgu Li dilaporkan bergantung kepada alat bantuan pernafasan dan ditempatkan di unit rawatan rapi hospital berkenaan.
Bapa kepada empat orang anak itu ke Jogjakarta bersama rakan-rakan setugas pada 4 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke hospital pada keesokan harinya.
Menurut Hafizul Fazli, dia dan ibunya, Asiah telah berjumpa kedutaan Malaysia di sana dan berharap bapanya dapat dibawa pulang segera. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami