PUTRAJAYA: Kematian menyayat hati 23 penghuni Darul Quran Ittifaqiyah dalam kebakaran, tujuh tahun lalu, akhirnya terbela apabila Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis, mengekalkan hukuman dan sabitan terhadap seorang pemuda berusia 23 tahun atas kesalahan membunuh.

Susulan itu, pemuda berusia 23 tahun ini akan dipenjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong.

Dalam kejadian 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang marak dijilat api.

Pada 11 September tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara terhadap pemuda itu selepas tiga panel hakim mendapati, tiada sebab untuk mengusik keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mendapati dia bersalah atas 23 pertuduhan berkenaan.

Sementara, seorang lagi rakannya yang juga berusia 22 tahun, kekal dilepas dan dibebaskan atas tuduhan sama.

Mengikut pertuduhan, dua pemuda (ketika kejadian berusia 16 tahun), didakwa bersama-sama membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 hingga 6.45 pagi, 14 September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati.

Pada 28 Januari 2020, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Azman Abdullah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memerintahkan pemuda pertama itu membela diri.

Sebaliknya, mahkamah melepas dan membebaskan pemuda kedua tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan sama.

Pada 17 Ogos 2020, hakim sama mendapati pemuda pertama bersalah dan mengenakan hukuman penjara selama diperkenankan Agong kerana dia merupakan pesalah kanak-kanak. -Sinar Harian