KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda Pas mencadangkan semua yang terbabit dalam isu dakwaan terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki, direhatkan sehingga siasatan selesai.

Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan itu wajar dilakukan bagi memastikan ketelusan dalam siasatan serta membuktikan keseriusan kerajaan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Isu tersebut dilihat boleh menjejaskan kredibiliti serta komitmen kerajaan dalam membanteras rasuah dan memperkukuhkan integriti yang sedang diusahakan kini.

BACA: Dakwaan terhadap Azam Baki: Pemilikan saham penjawat awam? Ini yang anda perlu tahu

BACA: Nasi sudah jadi bubur, penjelasan Azam Baki dan LPPR sukar diterima - Walter Sandosam

SEMUA MENGENAI KONTROVERSI MEMBABITKAN AZAM BAKI DI SINI

“Pemuda Pas memandang serius isu ini dan ia menjadi suatu kewajipan kepada pihak kerajaan terutama kepada pimpinan Perdana Menteri untuk mengambil langkah segera dan mengadakan siasatan secara bebas dan terbuka,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah beliau, Pemuda Pas percaya perkara itu penting bagi menangkis persepsi buruk kepada kerajaan dan negara selain memastikan integriti terus terpelihara.

“Semoga Malaysia sentiasa dipelihara Allah SWT dan kedaulatan undang-undang terus ditegakkan dengan amanah dan berintegriti,” ujarnya.


AWANI Ringkas: Tunggu saya saman - Azam Baki

Sementara itu, Ahmad Fadhli dalam Facebooknya menyatakan beliau menghormati Azam dan menyimpulkan bahawa beliau seorang mahir dengan selok belok urus tadbir sesuai dengan kedudukannya.

“Bagaimanapun dalam isu terkini ini, saya berpandangan adalah baik untuk beliau bercuti rehat memberi laluan kepada siasatan untuk membersihkan nama beliau.

“Insya-Allah saya berharap agar beliau dapat kembali bertugas dengan nama yang bersih daripada segala tohmahan,” katanya.

Astro AWANI pada Khamis melaporkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan memanggil Azam berhubung isu pemilikan saham olehnya.


Usul Tergempar | MP Pulai usul bahas isu Azam Baki di Parlimen

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata ia bagi mendapatkan penjelasan lanjut dan mengesahkan kenyataan yang dibuat oleh Azam, serta mengumpul sebarang bukti yang berkaitan.

Menurut SC, di bawah Seksyen 25 Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, setiap akaun sekuriti yang dibuka dengan depositori pusat mestilah atas nama pemilik benefisial sekuriti yang didepositkan, atau atas nama penama yang diberi kuasa.

Ia menambah, Seksyen 29(a) Akta yang sama juga menetapkan bahawa semua urus niaga dalam sekuriti hendaklah hanya dilaksanakan oleh pemilik benefisial sekuriti atau penama yang diberi kuasa.