KUALA LUMPUR: Pemuda Perikatan Nasional (PN) tampil membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, pada Khamis.

Laporan polis itu dibuat susulan Koo Ham didakwa meletakkan syak bahawa pelaku kes khianat terhadap dirinya terdorong akibat kenyataan Pas dan Bersatu yang tidak bersetuju dengan cadangan agar pakar Perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari, Koo Ham didakwa telah mendahului siasatan polis dengan meletakkan syak sedemikian terhadap kes khianat dihadapinya itu.

"Laporan ini dibuat untuk mengekang sebarang kenyataan awal yang dikeluarkan oleh beliau dan biarlah pihak polis menyiasat, tidak payahlah beliau menjadi lebih cerdik daripada pihak polis untuk membuat siasatan.

"Jika nak diikutkan logik, tidak perlu ke peringkat sampai nak bakar dan kononnya nak bunuh beliau, ini bukan pendekatan politik PN," katanya dalam sidang media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis, Daerah Kajang, pada Khamis.

Pada Rabu, Koo Ham mendakwa serangan yang bertujuan untuk membakar kediamannya itu dipercayai berpunca daripada kenyataannya sebelum ini berhubung cadangan supaya bukan Islam menganggotai jawatankuasa mengkaji perundangan syariah.

Susulan kritikan yang diterima, Koo Ham sebelum ini telah memohon maaf dan menarik balik cadangannya itu.

Mengulas lanjut, Fadhli berkata, Koo Ham juga harus membiarkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas.

"Saya berterima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyatakan agar jangan ada sesiapa mendahului siasatan termasuklah mengeluarkan persepsi dan sangkaan terhadap mana-mana suspek kerana proses untuk mengenali pasti suspek dan menjalankan siasatan merupakan kuasa pihak polis," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Fadhli menzahirkan ucapan takziah PN kepada Koo Ham sambil menyifatkan perbuatan khianat itu sesuatu yang tidak boleh diterima serta amalan demokrasi di dalam negara.

"Apa saja yang berlaku tidak boleh sampai ke peringkat khianat kepada harta benda orang lain, kita doakan supaya Koo Ham diberikan keadilan, dipermudahkan urusan menuntut insurans dan sebagainya," ujarnya.

Pada Rabu, media melaporkan kediaman serta tiga kereta milik Koo Ham di Lorong Semarak Jaya, Ayer Tawar, Manjung, terbabit kebakaran dengan polis mengesahkan kebakaran itu berpunca daripada perbuatan khianat, hasil penemuan botol digunakan sebagai bom petrol atau 'molotov cocktail' di lokasi kejadian.

Kejadian itu bagaimanapun, tidak membabitkan kemalangan jiwa atau kecederaan.