KUALA LUMPUR: Seorang Perdana Menteri boleh meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen jika mendapati tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 43 (4), Perlembagaan Persekutuan.

Ketua Pemuda UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki bagaimanapun berkata, Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (2) untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen atas alasan pandemik COVID-19.

Jelasnya, Yang di-Pertuan Agong juga boleh menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (1) melantik seorang perdana menteri baharu mengikut budi bicara Baginda.

Ujarnya, Perkara 43 (2a) pula dinyatakan perlantikan berasaskan “seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

Berikut kenyataan media Asyraf mengenai isu berkenaan:

Apabila seorang Perdana Menteri sudah kehilangan majoriti, apa yang akan berlaku menurut Perlembagaan?

1. Perkara 43 (4) Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka dia boleh pilih untuk sama ada:

(i)  Meletakkan jawatan

(ii) Menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen.

2. Namun Agong Mempunyai Kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (2) untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran Parlimen atas alasan kerana penularan pandemik COVID-19.

3. Agong boleh menggunakan kuasa di bawah Perlembagaan Perkara 40 (1) melantik seorang Perdana Menteri baharu mengikut budi bicaranya. Perkara 43 (2a) pula dinyatakan pelantikan berasaskan “seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu”.

4. Maknanya Agong boleh melantik sesiapa sahaja di kalangan 220 Ahli Dewan Rakyat (dua meninggal dunia) mengikut budi bicaranya dan pada hematnya mendapat kepercayaan majoriti.

5. Jika Agong sudah melantik seseorang menjadi PM, dia ada tempoh 60 hari untuk mengabsahkan kedudukannya yang dianggap mempunyai majoriti di Parlimen (floor test) dengan mengemukakan usul percaya kepada PM.

6. Sesudah itulah baru Perkara 43 (2b) menyatakan Agong atas nasihat PM melantik Jemaah Menteri sama ada dari Dewan Rakyat atau Dewan Negara untuk membantu PM.

Dalam pada itu Asyraf turut mencadangkan;

1. Dilantik seorang Perdana Menteri Interim yang tidak kontroversi, tidak dianggap ancaman kepada sesiapa dan tidak ada cita-cita politik untuk membunuh pesaing-pesaing politiknya.

2. Perdana Menteri Interim boleh mewujudkan ‘War Cabinet’ atau sebuah kabinet sepertimana pengalaman UK dalam beberapa peristiwa besar untuk melawan pandemik penyakit tangan dan kuku, ‘Brexit’ dan Perang Dunia di zaman Winston Churchill.

3. War Cabinet bersifat inklusif, terdiri daripada wakil-wakil semua parti besar tidak kira kerajaan atau pembangkang.

4. Tujuan Kerajaan Interim melalui fungsi PM dan War Cabinetnya dengan fokus yang khusus kepada hanya tiga perkara:

(i) Menangani COVID-19.

(ii) Mempercepatkan vaksinasi agar negara segera capai imuniti kelompok.

(iii) Membantu kebajikan rakyat yang kesempitan ketika ini (termasuk #TuntutanRakyat)

5. Kabinet dikecilkan daripada 70 menteri dan timbalan menteri kepada hanya beberapa atau maksimum 10 Menteri Koordinator.

6. Kerajaan interim hanya untuk tempoh sehingga imuniti berkelompok tercapai iaitu lebih 90 peratus rakyat divaksin. Sasaran tidak boleh lebih enam bulan.

7. Jika imuniti kelompok berjaya dicapai, PM Interim mesti menasihati Agong untuk membubarkan Parlimen bagi diserahkan mandat kembali kepada rakyat untuk diadakan PRU-15.

Kerajaan Interim boleh meredakan suhu politik dengan semua parti terlibat untuk tangani COVID-19, dengan sendiri wujud gencatan senjata politik (political ceasefire).

Ini kerana matlamat akhir selepas enam bulan dan berjaya capai imuniti kelompok, PRU-15 boleh diadakan.

Sepanjang Kerajaan Interim: 

- tiada lagi aktiviti ‘horse-trading’ (jual beli Ahli Parlimen dan orang politik).

- Tidak ada lagi aktiviti persaingan sengit dengan kecenderungan penguasa menggunakan kaedah ‘knife, pen and cheque book’, ugut dan tawaran untuk melemahkan pesaing di kalangan parti-parti lawan.

- Semua parti bekerjasama fokus COVID-19 bukan membina ‘war chess’ sepanjang dalam kerajaan.

- Political Ceasefire untuk seketika sehingga PRU-15