KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi jaminan peruntukan bagi kegiatan sukan dan kebajikan atlet akan tetap dipelihara walaupun negara berdepan kekangan kewangan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bidang sukan negara terus menjadi tumpuan apabila berjaya membuktikan prestasi lebih positif berbanding jangkaan awal.
"Walaupun kita kata ada kekangan kewangan, saya beri jaminan dan beritahu Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dalam mesyuarat Jemaah Menteri, acara kegiatan dan kebajikan sukan tetap kita pelihara sepenuhnya. Tidak ada potongan.
"Saya ingat atlet ini bimbang sikit, susah hati (jika peruntukan dipotong). Jangan bimbang. Itu bukan masalah saya dan bukan masalah anda, itu masalah menteri.
"Jadi, mudah-mudahan kita lihat kejayaan terus di negara kita. Kita sudah capai tahap yang membanggakan," katanya ketika berucap dalam majlis Anugerah Sukan Negara 2025, di sini, pada Selasa.
Dalam masa sama, Perdana Menteri turut meminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menggunakan sebarang lebihan peruntukan untuk tujuan kebajikan atlet.
"Jika mahu jayakan sukan, olahraga negara ini, tumpuannya mestilah kebajikan atlet. Itu menjadi faktor nombor satu. Lebih selesa dan mudah serta tempat latihan lebih baik," ujarnya.
Anwar menambah, sukan adalah medium paling berkesan untuk menyatukan rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang di negara ini.
Menurutnya, semangat itu dapat dilihat apabila rakyat tidak mempersoalkan latar belakang atlet ketika mewakili negara dalam pertandingan.
“Kalau dalam badminton dan bola sepak, penyertaan dan dukungan itu spontan.
"Orang tidak kira yang jaringkan gol itu Melayu, Cina atau Kadazan. Dia tak tanya siapa yang smash badminton itu. Melayu India atau Cina.
“Ini keistimewaan, saya lihat sektor yang lain…tidak, sukar; saya tengok dalam politik lebih-lebih lagi,” katanya.
Beliau menambah penglibatan rakyat dalam sukan perlu diperluas di semua peringkat termasuk desa, sekolah dan komuniti bagi melahirkan masyarakat yang aktif serta bersatu padu.