Pemuda UMNO hantar memorandum, segera tubuh RCI Tabung Haji

Bernama
Julai 16, 2020 00:41 MYT
Asyraf Wajdi menyerahkan kepada Zulkifli memorandum meminta kerajaan menyegerakan penubuhan RCI bagi menyiasat isu-isu yang melibatkan Tabung Haji. - Facebook Dr Asyraf Wajdi Dusuki
Pergerakan Pemuda UMNO pada Rabu menyerahkan memorandum menggesa kerajaan segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan penyelewengan membabitkan Tabung Haji (TH).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menerusi hantaran di Facebooknya, berkata, memorandum itu telah diserahkan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, petang semalam.
"Segala tuduhan salah laku dan penyelewengan kini hanya boleh dirungkaikan melalui penubuhan RCI yang bertindak secara bebas dan berkecuali.
"Malah keyakinan dan kepercayaan rakyat dan umat Islam terutamanya pendeposit boleh dikembalikan apabila bukan sahaja isu lama dapat diselesaikan, malah cadangan penambahbaikan dapat digarap sebaiknya menerusi RCI yang bakal dibentuk kelak," katanya.
Pada Selasa, beberapa Ahli Parlimen mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan Lembaga TH yang lepas, ketika sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat.
BACA: Tubuh RCI siasat Tabung Haji, cadang Ahli Parlimen
BACA: Perikatan Nasional perlu buktikan Tabung Haji tidak korup - Pemuda UMNO
Sumber Facebook drasyrafwajdidusuki
-- BERNAMA
#ahli Parlimen #Asyraf Wajdi Dusuki #Bebas #berkecuali #Dewan Rakyat #kerajaan #korup #memorandum #Pemuda UMNO #pendeposit #penyelewengan #RCI #salah laku #Suruhanjaya Siasatan Diraja #Tabung Haji #tuduhan #UMNO #Zulkifli Mohamad Al-Bakri