Pemuda UMNO sudah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri Pulau Pinang pada bila-bila masa.

Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin berkata, ia susulan perkara berkenaan adalah antara agenda utama pemuda pada mesyuarat pergerakan sayap itu.

"Kami sedang bincang tentang apa yang berlaku di Pulau Pinang, dan kami telah membuat keputusan bahawa ada kemungkinan besar DUN Pulau Pinang dibubarkan sebab masalah peribadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

"Maka saya telah arah Pemuda UMNO dan Barisan Nasional Pulau Pinang untuk menghadapi PRN Pulau Pinang bila-bila masa. Jadi, kami memang bersedia dan Pemuda berpandangan bahawa ini adalah satu kemungkinan tinggi disebabkan ini adalah strategi daripada Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menyelamatkan kedudukan beliau," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pergerakan Pemuda UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Tambahnya, 15 kawasan di Pulau Pinang menjadi tumpuan utama jentera (Pemuda UMNO dan BN) terutama di kawasan kaum Melayu.

"Kita beri tumpuan kepada 10 kawasan-kawasan UMNO dan lima lagi yang akan dipertandingkan UMNO. Ini semua kawasan Melayu, ini semua menjadi target kita, selebihnya adalah daripada parti komponen," kata Menteri Belia dan Sukan itu.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa pilihan raya mengejut di Pulau Pinang akan diadakan selepas Jawatankuasa Eksekutif DAP Pusat membuat keputusan mengenai perkara itu.

PRN itu adalah satu cara untuk mengukur sokongan rakyat terhadap DAP dan Guan Eng yang berdepan dua pertuduhan rasuah berkaitan pembelian banglo berharga RM 2.8 juta di Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran.