KUALA LUMPUR: Pelanjutan Program Subsidi Upah (PSU) 4.0 akan memberi manfaat kepada 242,000 majikan, meliputi lebih daripada 2.5 juta pekerja di seluruh negara.

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan berkata, majikan boleh membuat permohonan PSU 4.0 mulai 1 Ogos sehingga 31 Oktober 2021.

Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, PSU 4.0 akan dilaksanakan dalam tempoh empat bulan bermula 1 Ogos 2021 setelah permohonan untuk PSU 3.0 ditutup pada 31 Julai 2021.

"PSU 4.0 akan terus membantu golongan majikan dalam kesinambungan perniagaan dengan mengekalkan pekerja mereka, ketika kebanyakan sektor ekonomi masih diarahkan ditutup.

"Dengan peruntukan sebanyak RM3.8 bilion, PSU 4.0 akan disalurkan kepada majikan yang layak dan terhad kepada 500 orang pekerja bagi setiap perusahaan.

"Kadar RM600 untuk setiap pekerja dikekalkan dalam PSU 4.0 ini, yang terbuka kepada semua sektor ekonomi untuk dua bulan pertama, manakala dua bulan seterusnya adalah khusus bagi sektor-sektor di dalam kategori senarai negatif," kata Mohammed Azman.

Selain itu, beliau turut memaklumkan syarat permohonan subsidi ini juga telah ditambah baik di mana tiada had gaji pekerja ditetapkan untuk PSU 4.0 berbanding had gaji RM4,000 ke bawah dalam bantuan PSU sebelum ini.

Selain itu, majikan juga disyaratkan untuk memasukkan maklumat subsidi ke dalam slip gaji pekerja.

Mengulas berkenaan PenjanaKerjaya 3.0, insentif di bawah kategori Malaysianization telah ditambah baik dengan merendahkan  kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,200 sebulan untuk semua kumpulan pekerja yang digajikan bagi jawatan yang kebiasaannya diisi oleh pekerja asing.

"Selain itu, tempoh kontrak penggajian bagi semua kategori insentif juga dikurangkan daripada 12 bulan kepada enam bulan bagi kumpulan pencari kerja berumur 50 tahun ke atas, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bekas banduan.

"Di bawah PenjanaKerjaya 3.0 juga, insentif KerjayaGig ditambah baik dengan perluasan skop pengambilan pekerja meliputi pekerjaan gig ataupun sementara.

"Sebagai tambahan kepada kategori sedia ada, insentif ini juga kini dibuka kepada golongan penganggur tegar, iaitu mereka yang menganggur lebih daripada 180 hari," ujarnya.

Di samping itu, Mohammed Azman memaklumkan, insentif penempatan pekerjaan untuk Agensi Pekerjaan Swasta (APS) yang menyokong usaha pencarian pekerjaan juga ditambah baik di mana insentif sedia ada diperluaskan kepada kategori pekerja berkemahiran rendah dengan gaji di bawah RM3,000 sebulan.

Perincian lanjut berkaitan inisiatif di bawah PEMULIH akan dimuat naik ke laman web dan media sosial rasmi PERKESO dalam masa terdekat.

Untuk pertanyaan lanjut, majikan serta pekerja boleh menghubungi Careline Perkeso 1300-22-8000 atau layari laman web Perkeso di www.perkeso.gov.my.