KUALA LUMPUR: Peringkat pertama pemulihan bekalan air susulan kerja-kerja penggantian dua unit injap kawalan 1.2 meter (m) yang bocor di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua telah bermula pada 11 malam, pada Rabu.

Menurut Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), bekalan air dinormalisasi secara berperingkat untuk 197,025 pengguna meliputi 33 peratus daripada 590,000 pengguna yang terjejas.

"Peringkat pertama perlu diselesaikan selewat-lewatnya pada jam 6 pagi Jumaat seperti dijadualkan.

"Peringkat pertama juga tidak terjejas dengan kejadian di Sungai Perai kerana Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua sedang mengepam air kepada pengguna pemulihan tahap pertama melalui saluran paip utama yang lain," katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

Bagaimanapun, PBAPP berkata, kerja-kerja pembaikan tindakan kecemasan di Sungai Perai tertangguh kerana masalah teknikal.

"Masalah melibatkan salah satu pengapit yang direka khas untuk diletakkan di atas lubang sepanjang 1.35 meter pada saluran paip tidak dapat dipasang dengan betul.

"Ini menyebabkan operasi menyelam ditangguhkan dan kren berat telah dibawa masuk dan digunakan untuk mengangkat pengapit yang tidak sesuai untuk pengubahan tapak.

"Ini adalah penyelesaian kejuruteraan terpantas dengan risiko paling rendah untuk kelewatan yang lama dan pasukan selam komersial dijadualkan untuk mengunci pengapit yang diubah suai pada tempatnya pada saluran paip yang rosak hari ini (Khamis)," jelasnya.

Dalam pada itu, PBAPP berkata, pemulihan bekalan air peringkat kedua dijangka dilaksanakan mulai 6.01 pagi esok (Jumaat) dan menyasarkan untuk menormalkan perkhidmatan kepada 495,065 pengguna meliputi 84 peratus daripada 590,000 pengguna.

"Bagaimanapun, kejayaan peringkat kedua bergantung kepada pengoperasian semula bahagian yang rosak pada saluran paip bawah air Sungai Perai.

"Terdapat dua saluran paip berdiameter 1.35 meter yang menyalurkan air dari LRA Sungai Dua kepada tiga set saluran paip dasar laut berkembar yang merentasi laut ke Pulau Pinang.

"Bahagian yang rosak di Sungai Perai adalah bahagian salah satu daripada saluran paip berdiameter 1.35 meter ini dan kedua-dua saluran paip perlu berfungsi dengan baik untuk PBAPP mengepam air yang mencukupi ke Pulau Pinang," katanya.

PBAPP berkata, pihaknya komited untuk menyiapkan kerja-kerja pembaikan kecemasan Sungai Perai pada Khamis.