BUKIT KAYU HITAM: Sejak Op Benteng dilaksanakan pada Mei tahun lepas, jumlah penahanan pendatang tanpa izin yang cuba memasuki negara telah berkurangan kepada 35 peratus berbanding sebelum pelaksanaan operasi berkenaan.

Panglima Medan Barat Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata ia jelas menunjukkan bahawa Op Benteng yang dilaksanakan telah menutup ruang dan peluang pendatang asing daripada membolosi sempadan negara Malaysia.

"Semua langkah yang dilaksanakan di bawah operasi ini nyata memberi kesan kepada pendatang asing yang cuba masuk melalui lorong-lorong tikus atau laluan haram di sepanjang sempadan negara.

"Selain itu, sejak Op Benteng dilaksanakan sehingga 24 April lepas, 2 Divisyen telah berjaya mematahkan aktiviti jenayah rentas sempadan antaranya melibatkan aktiviti penyeludupan dengan nilai rampasan berjumlah RM24.2 juta," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Muhammad Hafizuddeain berkata pihaknya yakin sempadan negara terus dipertahankan dengan kerjasama semua agensi keselamatan seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penyerahan Aset Mobiliti Darat kepada Op Benteng Zon Utara KTJ 2 Divisyen di Markas Taktikal Kompeni Pos 5 Operasi Pagar II Siri 2/2021 yang turut dihadiri Panglima Divisyen Kedua Infrantri Malaysia Mejar Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad.

Muhammad Hafizuddeain berkata melihat kepada keberkesanan operasi berkenaan serta hasil analisis yang dibuat melalui input diperolehi, pihaknya telah dibekalkan dengan aset mobiliti iaitu enam buah All Terrain Vehicle (ATV) dan sebuah Trak 1 Tan GS Kargo.

"Aset ini menepati keperluan operasi di kawasan sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, memperkukuh kawalan di sempadan dan memudahkan pergerakan di kawasan bentuk muka bumi yang berbukit selain dapat bertindak dengan lebih pantas.

"Perancangan hadapan ialah untuk membekalkan aset dron bagi membantu meningkatkan tahap pemerhatian di sempadan negara. Buat masa ini, ia masih dalam perancangan tetapi akan cuba diperolehi dalam masa terdekat," katanya.

-- BERNAMA